Fahami isu sebenar di Syria

Konflik berdarah di Syria mendapat perhatian dunia. Yang menimbulkan keprihatinan ialah sebilangan orang terpengaruh hingga melibatkan diri dalam peperangan di negara itu, kononnya atas nama 'jihad'. Malah, pengaruhnya turut menyusup ke Singapura. Beberapa warga Singapura yang dikesan pergi ke Syria dipercayai terlibat dalam membantu tindakan ganas di sana. Terdapat dua kes tahun lalu dan satu tahun ini. Ia setelah mereka menjadi radikal secara sendiri dan ingin 'berjihad' di negara itu. Berita Minggu mewawancara pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Ali Haji Mohamed, bagi mendapatkan pandangan beliau mengenai perkara itu, termasuk berdasrkan pengalaman RRG dalam menangani salah faham mengenai jihad. Berikut sedutan wawancara oleh NUR ADILAH MAHBOB (adilaham@sph.com.sg) itu

KUMPULAN PEMULIHAN KEAGAMAAN (RRG)

SEBELUM kita membicarakan tentang Syria, kita cuba lihat peranan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dalam tempoh 12 tahun dulu.

Dulu, semasa kita diberitahu pemerintah tentang masalah Jemaah Islamiyah (JI), pemerintah melihatnya dari sudut lain. Kita masa itu tidak tahu sama ada ia suatu penangkapan atau interogasi.

Apabila pemerintah mendapatkan nasihat kami bererti, pada pendapat saya, pemerintah tidak mahu menyeberangi soal agama kerana perkara agama itu begitu kompleks.

Apabila saya menemui golongan JI - lelaki dan wanita - apa yang saya lihat, mereka memperkatakan tentang agama yang agak membuat saya terperanjat.

Kenapakah ini memeranjatkan saya? Kerana mereka mengeluarkan ideologi mereka sendiri.

Memang ada perkataan Islam seperti istilah jihad, seperti baiah, ummah, takfir dan istisyhad. Ada lagi - hijrah, Darul Islam, Dar Al-Harb dan Al-Wala' wal Bara'.

Perkataan ini semua ada dalam Islam tetapi pengertian yang mereka fahami dan tafsirkan, mereka jadikan doktrin hingga menjadi satu perjuangan.

Mereka juga ada buku perjuangan Pupji (pedoman umum perjuangan Al-Jamaah Al-Islamiah). Ini memang sudah terbuka dan sudah dijadikan doktrin.

Namun, doktrin yang ada di Pupji dan perkataan Islam itu sudah diputarbelitkan.

Jadi, doktrin itu sudah tak bersih dan suci, seperti yang terdapat dalam Islam.

Alhamdulillah, dalam masa 12 tahun, kita bersyukur kita mendapat para asatizah yang ingin bersama membantu dalam pemulihan semula mereka ini.

Kita mesti maju untuk membantu masyarakat sendiri. Bantu mereka yang tersilap jalan dan begitu juga keluarga dan anak mereka, serta bantu generasi akan datang.

DUA GOLONGAN DI SYRIA

Saya lihat ada dua golongan yang ingin berjihad di Syria.

Yang pertama, mereka yang hendak berjihad untuk membebaskan kezaliman. Bagi kumpulan ini, saya tidak lihat banyak masalah kerana kami boleh jelaskan dan tarik mereka kembali, jika mereka belum sampai ke tahap ekstrem. Yang saya khuatiri ialah golongan kedua, iaitu yang ingin berjuang kerana mereka percaya apa yang terjadi di Syria adalah petanda hampirnya hari kiamat.

PENJELASAN

Saya mahu terangkan kepada masyarakat kerana sudah 12 tahun kita bersama ancaman JI.

Kita tahu kekurangan kita. Waktu itu, apabila kita mahu melakukan kaunseling ke atas golongan JI, saya kata kita mesti tangani masalah ini dan bantu mereka.

Bagaimanakah caranya menangani mereka? Itulah kelebihan RRG, saya kira.

Para ulama kita telah menghasilkan beberapa manual yang digunakan untuk tujuan kaunseling. Walaupun kurang pengalaman pada masa itu, kami tepat berusaha juga kerana kami yakini apa yang kami lakukan sekali-kali tidak menyalahi agama. Alhamdulillah, kami berjaya menjalankan kaunseling ini dan membimbing mereka dengan manual yang kami sendiri menghasilkannya.

TANDA KIAMAT, IMAM MAHDI DAN KHORASAN

Isu di Syria dikaitkan dengan beberapa perkara mengenai tanda hari kiamat.

Antaranya ialah kemunculan Imam Mahdi.

Beberapa hadis menyatakan tentang Imam Mahdi.

Sebelum ini, sudah ada yang mengaku diri mereka Imam Mahdi, seperti dalam kejadian Kepungan Mekkah pada 1979.

Dalam peristiwa itu, sekumpulan pemberontak mengaku pemimpin mereka Imam Mahdi.

Satu lagi perkara ialah mengenai tempat yang dinamakan Khorasan. Antara tanda kiamat ialah datangnya tentera Imam Mahdi dari Khorasan yang membawa panji-panji hitam.

Ini yang saya bimbang - mereka ingin menjadi tentera Khorasan, membawa panji-panji hitam dan menyertai peperangan itu kerana mereka percaya ini adalah petanda hari kiamat. Mereka ingin menyahut seruan Nabi Muhammad saw untuk mempertahankan Syam (gugusan beberapa negara termasuk Palestin, Syria, Jordan dan Yaman) sehingga Nabi Isa as turun.

IMAM MAHDI ATAU DAJJAL?

Tanda kiamat ini juga termasuk kedatangan Dajjal serta Yakjuj dan Makjuj. Kita nak jadi tentera Dajjal atau Imam Mahdi? Dajjal sudah ada. Yakjuj Makjuj sudah ada tetapi tentera Khorasan belum tentu sudah ada. Kalau ada pun tentera itu, tahukah kita apa ciri-cirinya?

Banyak lagi perkara berkisar tanda kiamat, seperti isu Bani Tamim, isu pembukaan Konstantinopel dan lain-lain lagi. Kita enggan mereka yang tidak mahir dalam perkara ini dan tidak mahir mentafsirkannya terus terjun botol ingin berjuang di Syria.

PERANAN ASATIZAH

Kita sudah melihat bibit-bibit kepercayaan ini yang berpotensi merebak dan berpengaruh.

Sebelum ini, kita tidak ada persiapan dalam menangani isu JI. Sekarang, timbul pula isu ini dan kita tidak boleh tidak ambil tahu.

Saya ingin membuat seruan kepada para ulama dan asatizah kita supaya sama-sama menerangkan dan membimbing masyarakat tentang tanda-tanda kiamat.

Apakah kedudukan kita sekarang? Siapakah Imam Mahdi? Apakah kedudukan hadis tentang perkara ini? Apakah pegangan kita terhadap hadis ini?

Jika ada yang dakwa apa yang berlaku sekarang sebagai tanda kiamat, apakah ia benar? Kalau kita percaya akan Imam Mahdi, bagaimanakah kita nak kenal pastinya?

Imam Mahdi disebut sebagai Al-Mahdi Al-Muntazar, bermakna Mahdi yang ditunggu-tunggu.

Masalahnya, kita lihat sudah banyak berlaku orang mengaku dirinya Mahdi.

SOAL AKIDAH

Kita perlu proaktif menangani isu ini. Dahulu apabila berhadapan dengan isu JI, kita tidak ada persiapan dari sudut agama.

Dalam menangani soal akidah ini, masyarakat Islam harus bersama- sama memainkan peranan. Tugasan ini adalah tanggungjawab para ulama, asatizah dan ustazat khususnya untuk memberi bimbingan dan penjelasan kepada masayarakat.

Ini bukan soal RRG sahaja, ini soal akidah. Ini masalah akidah kerana ia melibatkan kepercayaan orang, melibatkan tanda kiamat yang merupakan satu rukun iman. Saya yakin kita tidak kurang asatizah berpengetahuan baik tentang kedudukan hadis.

KEPRIHATINAN JADI DOKTRIN

Sepanjang 12 tahun lalu, RRG menangani isu JI. Kebanyakan ideologi terlibat berdasarkan rasa tidak puas hati dan tidak banyak berkaitan akidah.

Bagaimanakah isu Syria boleh jadi serius? Saya khuatir isu Syria dijadikan doktrin militan, seperti JI. Isu ini boleh menjadi lebih berat kerana ia bersangkut paut dengan akidah kerana dikaitkan dengan tanda hari kiamat.

GOLONGAN EKSTREM?

Apakah kita boleh anggap golongan yang ingin berjihad di Syria sebagai ekstrem?

Pergi berjihad di Syria ini tidak dituntut oleh agama dan negara. Justeru, seseorang itu boleh menjadi ekstrem sekiranya ia melakukan sesuatu yang tidak dituntut. Apatah lagi hasil dari penglibatannya di Syria itu akan merugikan diri, keluarga dan masyarakatnya serta membawa kebinasaan dan porak peranda.

Mereka mungkin tidak ke tahap seperti JI, yang ingin membinasakan negara sendiri. Ini belum terjadi tetapi boleh terjadi kalau tidak ditangani dengan betul. Memang kita tidak boleh samakan ia dengan JI, tidak adil juga.

Pokoknya, kita sedar awal bahawa perkara ini boleh berlaku dan kita tidak boleh pandang ringan isu ini.


“Saya lihat ada dua golongan yang ingin berjihad di Syria. Yang pertama, mereka yang hendak berjihad untuk membebaskan kezaliman. Bagi kumpulan ini, saya tidak lihat banyak masalah kerana kami boleh jelaskan dan tarik mereka kembali, jika mereka belum sampai ke tahap ekstrem. Yang saya khuatiri ialah golongan kedua, iaitu yang ingin berjuang kerana mereka percaya apa yang terjadi di Syria adalah petanda hampirnya hari kiamat.”

Ustaz Ali Haji Mohamed

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 69
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.