PEGAWAI keselamatan boleh menjangkakan kenaikan gaji yang besar dalam dua tahun akan datang.
Mulai September 2016, mereka akan menerima gaji asas bulanan sebanyak $1,100 di bawah tangga gaji baru yang diumumkan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Rabu ini.
Ini adalah satu peningkatan daripada gaji asas sejumlah $800 sekarang. Pegawai yang memegang jawatan penyelia pula boleh menerima gaji asas sehingga $1,700 sebulan.
Polis, yang bertanggungjawab ke atas sektor keselamatan, akan mewajibkan tangga gaji itu sebagai sebahagian keperluan pelesenan bagi firma-firma keselamatan bermula September 2016.
Tempoh dua tahun akan datang membolehkan firma-firma keselamatan melatih para pegawai mereka dan menyesuaikan diri dengan tangga gaji yang baru itu, kata Penolong Setiausaha Agung NTUC, Encik Zainal Sapari.