GE2015: Corak undi luar negara cerminkan keputusan dalam negeri

Lebih 3,400 rakyat Singapura di luar negara mengundi pada Pilihan Raya Umum 11 September lalu, dan corak pengundian mereka sebahagian besarnya mencerminkan corak pengundian dalam negeri, kecuali di SMC Hougang.

Encik Lee Hong Chuang daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) menerima 22, atau hampir 60 peratus, daripada 37 undi bagi Hougang, yang berjaya dipertahankan Parti Pekerja (WP).

Undi di 10 pusat pengundian di luar negara dikira di Singapura semalam, ujar Jabatan Pilihan Raya (ELD) dalam satu kenyataan semalam.

Seramai 3,415 rakyat Singapura mengundi, daripada 4,868 yang mendaftar sebagai pengundi di luar negara.

Sebanyak 52 undi ditolak.

Apabila persaingan sengit, iaitu undi dalam negeri tidak dapat dimuktamadkan, keputusan di kawasan undi terbabit akan ditangguhkan hingga undi luar negara dikira.

Tetapi ini tidak berlaku tahun ini kerana kelebihan kemenangan di kesemua 13 kawasan undi perseorangan (SMC) dan 16 kawasan undi perwakilan kumpulan (GRC) jelas lebih tinggi daripada jumlah undi di luar negara bagi setiap kawasan undi.

PAP memenangi 71.34 peratus undi di luar negara yang sah.

Bagaimanapun, jumlah itu tidak membawa sembarang perubahan kepada peratusan undi yang dimenanginya, iaitu kekal 69.86 peratus.

Melihat pada undi di luar negara sahaja, dua SMC panas lain selain Hougang juga menyaksikan kelebihan kemenangan yang sangat tipis antara pesaing.

Di SMC Punggol East, calon PAP, Encik Charles Chong, menerima 20 undi berbanding 17 bagi Cik Lee Li Lian daripada WP.

Encik Chong berjaya merampas kerusi itu daripada Cik Lee, Anggota Parlimen (AP) penyandang.

Di SMC Fengshan, calon PAP, Cik Cheryl Chan, menerima 19 undi berbanding 18 bagi calon WP, Encik Dennis Tan.

Cik Chan memenangi kerusi tersebut.

Di GRC Aljunied pula, yang berjaya dipertahankan WP, PAP menerima 107 undi luar negara, iaitu 46.9 peratus, berbanding 121 yang diterima WP.

Kiraan undi luar negara dijalankan di Pusat Latihan ELD di Victoria Street.

Jumlah keseluruhan undi - termasuk tempatan, luar negara dan rosak - ialah 2.31 juta, iaitu 93.7 peratus daripada pengundi berdaftar.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 19
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.