Gempa Sabah: 19 murid, dua guru Sekolah Rendah Tanjong Katong selamat pulang

Murid 12 tahun, Peony Wee Ying Ping, disah terkorban

SERAMAI 19 pelajar dan dua guru Sekolah Rendah Tanjong Katong telah selamat pulang ke Singapura dari Kota Kinabalu, Sabah, sekitar 3 petang hari ini.

Mereka pulang menaiki pesawat SilkAir MI391 dan mendarat di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Encik Heng Swee Keat, yang berada di lapangan terbang, mengesahkan seorang pelajar Sekolah Rendah Tanjong Katong telah meninggal dunia.

"Ibu bapanya telah dimaklumkan. Saya sedari bahawa terdapat foto yang disebar di Internet yang membuat spekulasi sama ada ini pelajar kami.

"Pegawai kami sedang bekerja rapat dengan pihak berkuasa untuk cuba memastikan maklumat. Mereka juga bekerja rapat dengan ibu bapa. Sehingga fakta disahkan, saya menghargai jika kami memberi privasi kepada keluarga," katanya.

Encik Heng menambah pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia bagi mencari tujuh pelajar dan dua guru yang belum ditemui.

Kumpulan pelajar itu sebahagian daripada 29 pelajar dan lapan guru yang mengunjungi Gunung Kinabalu bagi satu lawatan pembelajaran luar negara dipanggil "Omega Challenge" apabila gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Richter melanda Sabah kelmarin.

Sebelum ini, pihak berkuasa Malaysia melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 12 tahun, dipercayai dari Sekolah Rendah Tanjong Katong, terkoban.
Kementerian Pendidikan (MOE) dalam kenyataannya berkata lagi dua pelajar dan seorang guru, yang memerlukan rawatan perubatan, dijangka pulang ke tanah air menaiki ambulans udara pada hari ini.

Tiga lagi guru akan terus berada di Kota Kinabalu bagi bekerjasama dengan kumpulan di tempat kejadian dan menjaga pelajar lain.

Seorang pelajar lelaki berusia 12 tahun, yang sebelum ini hilang, kini sedang mendapatkan rawatan di Kota Kinabalu.

"Usaha mencari dan menyelamat oleh pihak berkuasa Malaysia diteruskan bagi mencari tujuh pelajar dan dua guru yang hilang.

"Pegawai kami sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Malaysia bagi menghulurkan bantuan yang perlu," kata MOE.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 32
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.