Gergasi keluli Australia saman bekas pengurus kerana curi data

SYDNEY: Syarikat keluli gergasi Australia, BlueScope Steel, telah melancarkan tindakan undang-undang untuk cuba mendapatkan maklumat "sangat sensitif" daripada seorang bekas pengurusnya yang berpangkalan di Singapura, Cik Chinnari Sridevi Somanchi, yang dituduh melakukan pengintipan korporat.

Saman yang difail di Mahkamah Persekutuan Australia mengatakan Cik Somanchi memuat turun rahsia syarikat itu sebelum beliau dibuang kerja. Beliau dituduh memuat turun 40 gigabait dokumen sensitif yang disifatkan di mahkamah sebagai "bernilai komersial sangat besar".

BlueScope dilaporkan juga mengambil tindakan undang-undang melalui Mahkamah Tinggi Singapura, lapor akhbar The Straits Times pada Selasa (12 Jan).

Cik Somanchi, pengurus pembangunan perisian, bekerja dengan BlueScope kira-kira 12 tahun sebelum beliau dipecat. Beliau kemudian bekerja di Singapura bersama sebuah usaha sama antara gergasi keluli Jepun, Nippon Steel & Sumitomo Metal Corporation, dan BlueScope - NS BlueScope.

Beliau dituduh menggunakan maklumat yang dimuat turun itu semasa bekerja dalam pekerjaan barunya.

Cik Somanchi, yang dikatakan berusia 45 tahun, belum mengulas secara terbuka mengenai dakwaan tersebut.

Mahkamah Persekutuan minggu lalu mengarahkan beliau mendedahkan kepada seorang peguam bebas di mana beberapa barang itu berada, termasuk dokumen dan kod komputer.

Beliau telah diarah menyerahkan peranti penyimpanan yang menyimpan fail itu, bersama e-mel dan kata laluan, dan dilarang menyalin, menghantar atau memindahkan barang-barang itu.

BlueScope, pembekal utama produk keluli yang menggaji kira-kira 16,000 orang, memberitahu mahkamah ia mengambil berat tentang "kemungkinan Cik Somanchi memusnahkan atau menyembunyikan bukti".

Mahkamah berkata ia berpuas hati bahawa maklumat sulit itu "bernilai komersial sangat besar kepada BlueScope, yang telah membolehkan BlueScope mencapai kecekapan penting".

"Saya berpuas hati, atas keterangan yang kini di hadapan saya, bahawa terdapat kes yang boleh dihujahkan dengan kuat bahawa... apabila Cik Somanchi meninggalkan pekerjaan beliau di BlueScope beliau mengambil sebahagian (harta intelek syarikat itu)," kata Hakim Mordekhai Bromberg.

"Saya juga berpuas hati bahawa jika IP BlueScope IP jatuh ke tangan pesaing BlueScope, BlueScope mungkin menghadapi risiko nyata kerugian atau kerosakan besar."

Cik Somanchi dituduh memuat turun maklumat "sangat sensitif dan berharga secara komersial", terutama berkaitan produk BlueScope melibatkan bangsal.

Cik Somanchi kini bekerja di Singapura sebagai pengurus inovasi dengan NS BlueScope, sejak November.

Menurut Fairfax Media, NS BlueScope merancang memecat beliau minggu ini dan menghantar beliau pulang ke Australia.

Peguam beliau di Singapura, Encik Ng Lip Chih, memberitahu Fairfax Media Sabtu lalu beliau tidak boleh mengulas kerana prosiding undang-undang masih berjalan.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 42
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.