PENGENDALI khidmat kereta sewa privet Gojek akan mengurangkan komisen yang ia terima daripada pemandunya sebanyak separuh dari 21 Jun hingga sekurang-kurangnya hujung tahun depan.
Langkah itu bertujuan membantu pemandunya meningkatkan pendapatan mereka.
Ini bermakna pemandu Gojek akan dapat mengambil 90 peratus daripada tambang bagi setiap perjalanan, berbanding 80 peratus sekarang.
Keputusan itu dibuat selepas Grab, pengendali khidmat kereta sewa privet dominan di sini, berkata ia mahu memperbaiki pendapatan pemandunya dengan memperkenal tambang tambahan $1 mulai bulan ini.
Gojek mengatakan semalam bahawa potongan komisen itu, yang ia rujuk sebagai bayaran perkhidmatan, akan membantu mengurangkan kesan pandemik Covid-19 ke atas pemandunya.
Ia berkata satu tinjauan kendaliannya mendapati 50 peratus pemandu mahu bayaran perkhidmatan lebih rendah bagi menjana pendapatan lebih baik.
Gojek juga akan memperkenal bayaran $3 kepada pemandu yang memandu tiga kilometer atau lebih untuk mengambil penumpang mereka.
Ia antara beberapa langkah lain.
Pengurus besar Gojek, Encik Lien Choong Luen, berkata:
"Kesan pandemik yang berlarutan adalah kebimbangan berterusan bagi rakan pemandu kami sedang mereka cuba mengekalkan pendapatan mereka di tengah-tengah ketidakpastian.
"Langkah ini akan memberi kesan mendalam kepada pendapatan rakan pemandu kami, meningkatkan pendapatan yang mereka bawa pulang sambil memberi mereka lebih fleksibiliti untuk kurang bergantung pada insentif."
Gojek berkata perubahan itu mencerminkan pelaburan besarnya di Singapura, dengan sasaran membangun bahagian pasarannya di sini.
Ia juga mengatakan kempennya baru-baru ini untuk memberi perjalanan percuma atau potongan harga ke dan dari tempat vaksinasi untuk semua penumpang di Singapura telah mencatat 117,500 perjalanan sejauh ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg