Halimah dianugerah ijazah Doktor Kehormat oleh NUS

SPEAKER Parlimen, Cik Halimah Yacob, diberi satu penghormatan tertinggi oleh Universiti Nasional Singapura (NUS) bagi mengiktiraf sumbangan beliau kepada Singapura dan masyarakat.

Cik Halimah, 61 tahun, menerima ijazah Doktor Kehormat Undang-Undang pada Khamis (7 Julai) dalam satu majlis konvokasi di NUS, tempat beliau mendapat ijazah sarjana muda undang-undang.

Ini meletak beliau dalam kumpulan tokoh seperti mendiang Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew, Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong, dan mantan Hakim Besar Yong Pung How dan Chan Sek Keong.

Menyifatkan anugerah itu sebagai "satu pendorong hebat", Cik Halimah, yang menyertai politik pada 2001 sebagai Anggota Parlimen GRC Jurong, berkata beliau bercadang menggiatkan usaha demi memajukan perkara yang beliau telah lama perjuangkan, seperti kebajikan pekerja, isu wanita dan keluarga dan isu penuaan.

Dalam satu temu bual minggu lalu, Cik Halimah berkata kesukaran yang dihadapi pada awal kehidupan menjadi pendorong beliau.

Beliau kehilangan ayahnya pada usia kanak-kanak lapan tahun, dan ibunya bergelut menyara keluarga.

Bagi menyara dirinya dan empat adik-beradik, Cik Halimah membantu ibunya menyiapkan hidangan Melayu untuk dijual sebelum ke sekolah setiap hari.

Tetapi Speaker wanita pertama Singapura itu tidak pernah melihat cabaran-cabaran tersebut secara negatif.

"Halangan atau kesukaran memaksa saya berfikir dengan lebih kreatif tentang cara mengatasinya, untuk melihat pilihan lain, alternatif, melakar strategi baru, kaedah baru," katanya.

Beliau berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di NUS (Universiti Singapura ketika itu) di bawah dermasiswa daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), dan kemudian menghabiskan 30 tahun dalam gerakan pekerja, membela nasib pekerja, wanita dan kumpulan minoriti.

Mengenai pengiktirafan dari NUS itu, Cik Halimah berkata beliau berbesar hati dan berterima kasih.

Beliau juga menggesa siswazah baru supaya jangan memberi tumpuan pada kerjaya mereka sendiri saja, tetapi memikirkan juga cara mereka boleh menyumbang kembali kepada masyarakat.

"Manusia ada keupayaan semula jadi untuk berbuat baik, dan mereka harus menggunakan pendidikan universiti mereka untuk mengasah kebaikan yang mereka perlu sumbang kembali kepada masyarakat," kata Cik Halimah, sambil menambah beliau sendiri mendapat manfaat daripada sistem pendidikan dan sumbangan orang lain.

"Ini benar-benar penting, kerana ... kita mahu menyumbang ke arah pembangunan sebuah masyarakat yang baik."

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 25
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.