Hanya $4,000 untuk miliki flat dua bilik HDB

KELUARGA berpendapatan rendah mungkin perlu membayar hanya sekitar $4,000 secara tunai atau melalui CPF bagi memiliki flat dua bilik HDB apabila inisiatif terbaru Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) berkuat kuasa bulan depan.

Harga itu- bagi pembeli flat pertama bergaji bawah $1,000 - merangkumi 5 peratus harga flat dua bilik harga rendah sekitar $75,000, selepas mengambil kira Geran Perumahan Khas (SHG) yang digandakan daripada $20,000 kepada $40,000 dan Geran Perumahan Tambahan (AHG) hingga $40,000.

Di bawah perubahan terbaru ini, had gaji bagi menerima SHG dinaikkan daripada $6,500 kepada $8,500.

Tambahan kepada SHG itu antara tiga inisiatif baru yang didedahkan MND dan HDB pada Isnin (24 Ogos), menyusuli pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengenainya di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad.

MND dan HDB turut memperkenal Geran Rumah Berhampiran (PHG) bagi membantu warga membeli rumah jual semula dengan atau berhampiran ibu bapa atau anak telah berumah tangga.

Setiap warga layak menerima PHG sekali - $20,000 bagi warga telah berumah tangga dan $10,000 bagi warga bujang - termasuk yang pernah membeli flat HDB, tanpa mengambil kira pendapatan keluarga dan sekalipun mereka pernah memiliki hartanah privet.

Had gaji bagi beli flat HDB dan kondomonium eksekutif (EC) juga telah dinaikkan, masing-masing daripada $10,000 kepada $12,000 dan $12,000 kepada $14,000.

MND dan HDB juga mengumumkan ia sedang mengkaji Skim Perumahan Permulaan Baru (FSHS), termasuk geran baru bagi membantu keluarga mempunyai anak kecil yang tinggal di flat sewa membeli flat dua bilik. Menurut Menteri Pembangunan Negara Encik Khaw Boon Wan, pihaknya akan dapat memberikan lebih banyak butir tentang skim ini dalam masa beberapa bulan mendatang.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 61
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.