Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Harapan nelayan di Kota Tinggi

Berharap Barisan Nasional menang

Keputusan pilihan raya negeri pada Mac lalu telah memberi keyakinan kepada Barisan Nasional ia akan memenangi majoriti kerusi parlimen yang dipertandingkan di Johor - ada 26 kerusi kesemuanya - di Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ini. Namun, Pakatan Harapan masih berpengaruh di negeri ini, dan menurut pengamat, hanya perlu memperhalusi strategi untuk menggalak penyokongnya kembali memberi sokongan di peti undi. BERITA HARIAN baru-baru ini bertemu dengan beberapa penduduk di Kota Tinggi, Johor, bagi mendapatkan sedikit gambaran sentimen mereka menjelang Hari Mengundi pada 19 November.
Nov 08, 2022 | 05:30 AM



AZAN zohor yang baru sahaja berkumandang mengundang beberapa penduduk kampung bergegas ke masjid, tetapi masa bak bergerak lebih perlahan di Kampung Johor Lama di Telok Sengat, Kota Tinggi.



Selain beberapa bot nelayan berwarna biru yang terumbang-ambing dibelai ombak kecil yang memukul pantai, tidak banyak yang bergerak di kampung yang terletak kurang 40 kilometer dari Desaru, tumpuan cuti hujung minggu bagi ramai di Singpaura.



Sesekali deruman enjin motor kapcai memecang keheningan di tepi jeti, ditunggang nelayan yang hendak ke laut untuk melihat hasil tangkapan.



Satu-satunya tarikan pelancong di sana - Muzium Kota Johor Lama dan Kubu Johor Lama - tersergam indah sebagai peringatan kedudukan megah kawasan itu sebagai pusat pemerintahan awal dan benteng pertahanan sejak kurun ke-16.



Pada ketika itu, kawasan digunakan sebagai garisan pertahanan depan bagi menentang penjajah Portugis selepas kejatuhan Kesultanan Melaka, dan semasa Perang Dunia Kedua (WWII), diwarisi tentera Britain yang menjadikannya benteng untuk mengadang kemaraan tentera Jepun.



Namun kini kampung itu tidak sesibuk dahulu, dan kesunyian itu lebih dirasai oleh penduduk kampung, Encik Abu Bakar Abdul Aziz, 67 tahun, yang kesemua lima anaknya telah berpindah ke Johor Bahru.



Tiga daripada mereka pula bertugas di Singapura.



"Memang sunyi di sini. Tidak banyak perkara yang boleh dilakukan, selain memancing atau pergi ke muzium," kata Encik Abu Bakar.



"Jadi ramai anak muda keluar... nak hidup di bandar, cari rezeki dan cuba bina hidup di tempat lain."



Encik Abu Bakar ialah nelayan generasi kedua dalam keluarganya dan juga memiliki sebuah restoran makanan laut di jeti.



Ketika Berita Harian (BH) pergi ke kampung itu baru-baru ini, beliau sedang bersiap-siap untuk pergi ke laut untuk memeriksa jaringnya.



Berbeza dengan pekan Telok Sengat, di mana bendera Barisan Nasional (BN) telah dipasang di jalan raya, tiada bendera sebarang parti atau pakatan boleh dilihat di Kampung Johor lama.



Namun pilihan Encik Abu Bakar bagi Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan datang adalah jelas.



"Kami telah menderita selama 22 bulan... kini tidak lagi.''



Memberi contoh, Encik Abu Bakar berkata bot yang dicat biru adalah 'peninggalan' kerajaan negeri PH, yang menjadikan mandatori bagi pemilik bot mengecat bot dengan warna biru, sebagai tanda mereka berlesen untuk memilikinya.



"Namun, kami perlu keluarkan duit sendiri untuk beli cat," kata beliau, menggelengkan kepala.



"Walau apa pun, saya berharap Barisan Nasional akan menang kerusi parlimen kerana mereka mewakili orang Melayu dan boleh menjaga penduduk kampung di sini."



Beliau akur beberapa kesilapan telah dilakukan oleh beberapa pemimpin BN pada masa dahulu, tetapi ini tidak menjejaskan sokongan beliau untuk mereka, katanya.



"Bagi saya, semua manusia tidak boleh lari dari kesilapan, tetapi bukan semua manusia sentiasa salah. Sejarah juga menunjukkan parti kerajaan (BN) telah memberi banyak manfaat kepada rakyat dan negara," ujar Encik Abu Bakar.



Sentimen yang dikongsi oleh Encik Abu Bakar ini mungkin antara faktor yang memberikan kemenangan besar kepada BN di pilihan raya negeri pada Mac lalu.



BN memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan untuk mendapat mandat menubuhkan Dewan Undangan Negeri (DUN). Pakatan Harapan (PH) hanya menang 12 kerusi, dengan Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi dan Muda memenangi satu kerusi.



Ini berbanding pada 2018, apabila ia hanya memenangi 19 daripada 56 kerusi DUN, menyebabkan kerajaan Johor yang dibentuk BN jatuh kepada PH buat julung-julung kali dalam sejarah Malaysia.



PH memenangi 36 kerusi, sementara Parti Islam SeMalaysia memenangi satu kerusi.



Ini walaupun Johor dianggap sebagai kubu kekuatan BN dan Umno.



Pada tahun yang sama, BN juga menang hanya lapan daripada 26 kerusi Parlimen yang ditawarkan di Johor, antara punca kejatuhan kerajaan Malaysia yang dipimpin mantan perdana menteri Datuk Najib Razak, yang kini sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah.



Namun, kerajaan Malaysia yang dibentuk oleh PH jatuh pada Februari 2020, kurang 22 bulan selepas ia ditubuhkan, selepas Tindakan Sheraton melibatkan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) keluar dari PH dan bergabung dengan BN serta beberapa parti lain untuk menubuhkan kerajaan baru.



Kerajaan Johor juga beralih kepada gabungan baru ini.



Namun kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan bekas menteri besar Johor, Datuk Osman Sapian, pada 21 Disember, membuka laluan bagi pilihan raya kecil diadakan kerana kerajaan Johor yang dibentuk BN pada ketika itu hanya berupa kerajaan minoriti, dengan 28 kerusi, lebih satu kerusi berbanding pembangkang.



Bagi PRU15, BN menetapkan matlamat memenangi 22 daripda 26 kerusi parlimen yang ditawarkan.



Bilangan pengundi di Johor juga telah bertambah, daripada 1.8 juta pada PRU14 kepada sekitar 2.5 juta tahun ini, disebabkan undang-undang yang membolehkan pengundi berusia 18 tahun dan ke atas mengundi dan pendaftaran automatik.



Dalam pada itu, pemerhati politik, Profesor James Chin dari Universiti Tasmania, berkata sokongan yang hilang bagi kerajaan PH di Johor sebahagian besarnya berpunca dari kegagalan pengerusi Parti Tindakan Demokratik, Encik Liew Chin Tong di sana.



DAP ialah antara parti yang menjadi anggota PH.



Encik Liew baru-baru ini dinamakan sebagai calon DAP untuk bertanding di Iskandar Puteri, menggantikan calon veteran Encik Lim Kit Siang, yang mengumumkan persaraannya pada Mac lalu.



Dalam pada itu, Encik Lim Kit Siang baru-baru ini menggesa PH mencipta tsunami politik pada Hari Mengundi untuk membolehkan Malaysia mememenuhi potensi menjadi negara majmuk hebat yang bertaraf dunia.



"Daripada pengalaman politik saya selama 57 tahun, tidak ada sentimen anti-Melayu, anti-Cina, anti-India, anti-Kadazan, atau anti-Dayak, atau anti-Islam, anti-Buddha, anti-Hindu, atau anti-Kristian di lapangan, walaupun sesetengah parti-parti politik mencuba untuk menghidupkan sentimen kononnya orang Melayu dan Islam di Malaysia sedang terancam," kata beliau berucap di Sandakan, Sabah, semasa pelancaran gerakan akar umbi DAP di sana.




"Kami telah menderita selama 22 bulan... kini tidak lagi.



...Walau apa pun, saya berharap Barisan Nasional akan menang kerusi parlimen kerana mereka mewakili orang Melayu dan boleh menjaga penduduk kampung di sini."



- Encik Abu Bakar Abdul Aziz.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >