SEKITAR RAMADAN

Harapanku sempena Ramadan

Ibu tunggal tangisi suami yang telah pergi

Ramadan merupakan bulan penuh bermakna bagi orang Islam. Rata-rata ramai akan meluangkan lebih banyak masa beribadah dan berada di samping keluarga. Namun, tidak semua mempunyai nasib yang baik sebegitu. Ada yang mungkin baru kehilangan anggota keluarga, ada yang mungkin menunggu masa dapat menemui keluarga mereka sekali lagi dan ada yang mungkin ingin membina semula hubungan rapat dengan keluarga. Berita Minggu memaparkan harapan tiga individu sempena Ramadan ini. Ikuti laporan Irma Kamarudin (irmak@sph.com.sg), Hairianto Diman (mdhairi@sph.com.sg) dan Siti Aisyah Nordin (naisyah@sph.com.sg).

 

APABILA Cik Norlin Yusof, 40 tahun, kehilangan suaminya akibat sejenis barah darah dua bulan lalu, kehidupannya seperti tidak bermakna lagi.

Ibu dua anak lelaki itu hampir putus asa dan tidak mahu meneruskan kehidupannya.

Penyakit yang melanda suaminya, Allahyarham Huseni Mohd Noh, 37 tahun, kembali secara mendadak setelah diberitahu doktor dua bulan sebelumnya bahawa beliau telah pulih sepenuhnya dan bebas daripada barah.

Namun, kededua anaknya yang berusia 14 dan lapan tahun memberi Cik Norlin semangat agar bangkit semula dalam mengharungi kepahitan itu.

"Saya masih rasa kehilangannya. Allahyarham sebahagian daripada kehidupan saya.

"Susah bagi saya menerima kenyataan pahit itu. Tetapi apabila saya ingatkan anak-anak, saya reda dan cuba mengharunginya hari demi hari.

"Saya kini perlu memainkan peranan sebagai ibu dan ayah kepada mereka," kata Cik Norlin sambil mengesat air mata ketika ditemui di rumahnya di Senja Road baru-baru ini.

Allahyarham Huseni didiagnos barah multiple myeloma - sel plasma tidak normal berkumpul di dalam sum sum tulang dan menjejas pengeluaran sel darah yang normal - pada Mei tahun lepas.

Menurut Cik Norlin, Allahyarham mengadu rasa sakit di bahagian pinggang.

Setelah berjumpa doktor, Allahyarham didapati menghidap barah peringkat ketiga serta kegagalan buah pinggang dan perlu menjalani dialisis.

"Kami sedih setelah mendapat berita itu, tetapi doktor yakin beliau dapat pulih dengan rawatan sewajarnya.

"Beliau menjalani rawatan kemoterapi dan pemindahan ginjal.

"Mujur, beliau terima baik rawatan itu. Semasa janji temu doktor pada Disember, beliau disahkan bebas daripada barah," kongsi Cik Norlin.

Pada mulanya, beliau tidak percaya dan berpendapat Allahyarham hanya mahu mententeramkan hatinya saja.

"Saya mengikutnya ke janji temu pada bulan seterusnya dan dapat tahu berita baik itu sendiri," ujar Cik Norlin yang bekerja sebagai pembantu klinik sambilan.

Beliau gembira dan bersyukur suaminya sembuh.

Allahyarham Huseni pun kelihatan sihat, dapat menjalankan kegiatan harian seperti biasa dan kembali bekerja, tambahnya.

Namun, pada hujung Februari lalu, rasa sakit kembali menyerang kaki kanannya pula. Allahyarham berjalan tempang dan sangat gelisah sehingga tidak dapat tidur, kata Cik Norlin.

"Beliau terpaksa mendapatkan suntikan dan ubat tahan sakit. Akhirnya, kami memutuskan ke hospital. Doktor berkata Allahyarham mungkin mengalami cakera teranjak (slipped disc) dan diarah menjalani imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik).

"Tetapi kami perlu tunggu enam minggu untuk janji temu doktor itu," kata Cik Norlin.

Empat minggu berlalu. Keadaannya bertambah teruk dan akhirnya beliau memutus memasukkan suaminya ke hospital.

"Doktor melakukan ujian darah dan mendapati Allahyarham tidak mengalami cakera teranjak.

"Barahnya telah kembali semula dan ada tumor di paha kanan," ujar Cik Norlin yang pada masa itu terperanjat dan berasa marah kerana tidak diberitahu awal.

Jika dikesan awal, rawatan sewajarnya boleh dilakukan, ujar beliau.

Menurutnya, doktor menganjurkan rawatan lebih intensif untuk menangani serangan agresif itu.

Allahyarham mengambil pil kemoterapi dan keadaannya bertambah baik.

"Allahyarham minta dibenarkan keluar hospital kerana mahu menghadiri acara anjuran Ain Society, Projek Kasih.

"Semasa di sana, tiba-tiba hidungnya mula berdarah. Kami pulang. Darah tidak berhenti sehingga menitis seluruh rumah.

"Kami akhirnya ke hospital dan diberitahu ada pendarahan dalaman di otaknya," kata Cik Norlin.

Pada hari-hari seterusnya, Allahyarham Huseni menjalani kemoterapi.

Selepas hari ketiga, beliau sesak nafas dan dihantar ke Unit Jagaan Rapi (ICU) dan perlukan sistem bantuan pernafasan.

"Saya masih ingat lagi kata-kata akhirnya sebelum beliau tidak sedarkan diri.

"Beliau meminta maaf dan memeluk kami sekeluarga. Beliau kelihatan seperti tahu masanya akan tiba.

"Pada malam itu, Allahyarham terus tidak sedarkan diri. Hanya sistem itu saja yang menyokong kehidupannya.

"Dengan hati yang berat, saya terpaksa membuat keputusan memberhentikan sistem itu. Allahyarham meninggal dunia secara aman di sisi keluarga," ujar Cik Norlin dengan air mata bergenang.

Beliau mendedahkan bahawa perkara yang sangat dirindui tentang Allahyarham ialah mesej teksnya.

"Allahyarham selalu WhatsApp apa yang sedang dilakukannya di tempat kerja.

"Beliau mengambil gambar makan tengah hari dan menghantar kepada saya. Beliau seorang yang penyayang dan banyak berkorban untuk keluarga.

"Tetapi kini, telefon bimbit saya sepi... tidak lagi berbunyi tanda ada mesej baru daripadanya..." kata Cik Norlin sayu.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 39
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.