Hari iktiraf sumbangan pekerja pengangkutan awam

Staf SMRT, SBS Transit dan syarikat pengangkutan awam lain bangga main peranan beri khidmat

SELEPAS hampir tiga dekad bertugas dalam sektor pengangkutan, Encik Abdullah Sunny Ali berkata beliau masih kagum dengan perkembangan rangkaian pengangkutan awam di Singapura.

Malah, Encik Abdullah, yang kini bertugas sebagai penolong jurutera kanan di SMRT, berkata beliau berasa bangga kerana telah memainkan peranan dalam pembangunan tersebut, walau sedikit.

"Bayangkan dulu Singapura dipenuhi hutan dan banyak kawasan yang berlumpur, tetapi melihat perubahan pada rangkaian MRT kita pada hari ini, saya rasa cukup berbangga menjadi antara perintis usaha-usaha ini," ujar bapa tiga anak berusia 58 tahun itu.

Menurut Encik Abdullah, stesen MRT seperti Bedok, Bugis, Lavender dan Changi Airport belum dibangunkan semasa beliau mula bekerja dengan SMRT pada 1988.

Menyingkap kembali tugasnya selaku pegawai teknikal ketika itu, Encik Abdullah berkata beliau akur agak ragu-ragu ketika itu tentang rancangan masa depan untuk menjadikan Singapura negara yang mudah dihubungkan antara satu tempat dengan tempat yang lain.

"Saya tidak menyangka ia boleh menjadi realiti satu hari nanti," ujar beliau.

Rakan kerja Encik Abdullah di SMRT, Encik Abdul Majid Daud, yang bertugas melakukan penyenggaraan landasan berkata beliau mengambil berat tugasnya itu, kerana ia melibatkan keselamatan pihak awam.

Menurut Encik Abdul Majid, 55 tahun, beliau akan memberitahu teman yang bekerja jika mendapati ada sebahagian landasan yang perlu diperiksa, ketika menaiki MRT pada hari cuti.

Semalam, Encik Abdullah dan Encik Abdul Majid antara sekumpulan pekerja pengangkutan yang berhimpun di Bedok Town Square untuk meraikan Hari Menghargai Pekerja Pengangkutan Awam - yang diadakan buat julung-julung kalinya.

Dianjurkan bersama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) dan pengendali pengangkutan, acara itu bertujuan mengiktiraf dan meraikan sumbangan 22,000 pekerja pengangkutan awam di Singapura.

Berucap di acara itu, Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan berkata pekerja pengangkutan awam memainkan peranan penting dalam rangkaian pengangkutan awam yang kian meluas dan berkhidmat kepada jumlah penumpang yang bertambah.

"Anda (pekerja pengangkutan awam) telah mengatasi pelbagai cabaran saban tahun. Anda berhak menerima penghormatan dan penghargaan kami," ujar Encik Khaw.

Antara lain, pengunjung ke acara itu digalak melekatkan kad ucapan terima kasih kepada pekerja pengangkutan awam di dinding khas.

Sementara itu, kapten khidmat pelanggan di SBS Transit, Cik Liyana Kassim, 31 tahun, pula berkata beliau berbesar hati kerana acara itu mengiktiraf sumbangan pekerja pengangkutan awam di Singapura, yang selalunya bertugas di sebalik tabir.

"Kami tidak meminta apa-apa balasan kerana melaksanakan tugas kami, tetapi acara seperti ini menunjukkan ada pihak yang prihatin kepada kesejahteraan kami dan menghargai sumbangan kami," ujar Cik Liyana, yang telah bertugas lebih tujuh tahun di laluan Timur Laut (NEL).

Laporan lain: Pemerintah akan bina keupayaan, baiki sekitaran pekerja

Waktu Solat

Subuh
5:27
Syuruk
6:48
Zuhur
12:51
Asar
4:14
Maghrib
6:52
Isyak
8:05
3 HR PSI: 81
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.