Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Hartanah Malaysia tetap kukuh

Mar 01, 2014 | 08:28 AM



PEMAJU utama Nusajaya di Iskandar Malaysia yakin prospek masa depan pasaran hartanah di Malaysia tetap kukuh meskipun terdapat langkah untuk menggandakan batas nilai hartanah yang boleh dibeli warga asing kepada RM1 juta ($389,250).


Pengarah urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UEM Sunrise, Dato’ Wan Abdullah Wan Ibrahim, bahkan tidak berasa bimbang dengan langkah tersebut yang bertujuan meredakan pasaran hartanah di negara itu.


Ini kerana dalam tempoh jangka panjang ia dapat mengelakkan pasaran hartanah Malaysia menjadi gelembung atau ‘bubble’ dan akhirnya menjunam.


Malah, Dato’ Wan Abdullah menekankan harga minimum RM1 juta itu masih murah jika dibandingkan dengan bandar-bandar lain di Asia Tenggara, seperti Jakarta dan Bangkok.


Lagipun, kebanyakan projek yang dibeli warga asing daripada UEM Sunrise merupakan projek bernilai lebih RM1 juta.


“Saya tidak fikir kesannya akan begitu terasa,” katanya dalam a satu temu ramah dengan Berita Harian di The Ledang Urban Retreat, Nusajaya, baru-baru ini.


Dato’ Wan Abdullah juga percaya harga hartanah di Malaysia masih mempunyai ruang untuk terus meningkat, walaupun harganya sudah melonjak sejak beberapa tahun lalu.


Namun, kesan langkah meningkatkan nilai hartanah itu mungkin dapat diukur dalam satu pelancaran projeknya berupa kondominium dan pejabat di Puteri Harbour bulan depan, kata beliau.


Menekankan sokongannya pada langkah-langkah menyejukkan pasaran itu, beliau berkata:


“Apa sahaja yang baik untuk negara, kami sokong 100 peratus. Kami tidak akan berasa terlalu bimbang dengan kesan-kesan masa terdekat kerana kami berada dalam sektor ini untuk jangka panjang.”


Syarikatnya merupakan sayap perniagaan hartanah bagi UEM Group Berhad dan syarikat pelaburan kerajaan Malaysia, Khazanah Nasional.


UEM Sunrise juga syarikat hartanah terbesar Malaysia dari segi pemodalan pasaran.


Dato’ Wan Abdullah percaya permintaan hartanah di Nusajaya, yang merupakan pusat pentadbiran dan ‘permata’ Iskandar Malaysia, akan terus kukuh, bukan sahaja didorong oleh projek-projek pemangkin bahkan juga kerana nilai ringgit Malaysia telah merosot dengan banyaknya.


Projek-projek pemangkin yang dimaksudkan adalah seperti taman universiti, taman permainan bertema dan taman perindustrian.


“Ini membuatkan hartanah kami lebih murah berbanding tempat-tempat lain di dunia,” ujarnya sambil menekankan kesan meredakan pasaran hartanah itu adalah sementara.


Menjelaskan lanjut, beliau berkata dengan harga RM1 juta, pembeli asing masih boleh membeli sebuah rumah berangkai (link home) dengan keluasan sekitar 3,000 kaki persegi, berbanding flat HDB di Singapura.


“Ia masih murah,” tekan beliau.


Namun, Dato’ Wan Abdullah menggesa pembeli supaya membeli hartanah kerana sebab-sebab yang betul dan bukan untuk spekulasi jangka pendek.


“Tidak ada gunanya bergembira hari ini, tapi merana dalam dua atau tiga tahun akan datang apabila gelembung itu pecah,” tambah beliau.


Semasa membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengumumkan langkah menggandakan batas nilai hartanah yang boleh dibeli warga asing kepada RM1 juta, berbanding RM500,000 kini.


Warga asing juga dikenakan cukai keuntungan hartanah (RPGT) sebanyak 30 peratus jika hartanah itu dijual dalam tempoh lima tahun dan penjualan dari tahun keenam dan selanjutnya pula dikenakan cukai 5 peratus.


Pengumuman itu bagaimanapun tidak menggugat keyakinan Dato’ Wan Abdullah kerana apabila projek-projek pemangkin di Nusajaya siap, akan ada sebab-sebab yang mendorong pelabur melabur di Nusajaya.


Pelabur juga tidak akan terjejas dengan pengumuman itu, tegasnya.


Selain Nusajaya, beliau juga menyarankan pelabur menimbangkan pelaburan di Kuala Lumpur (KL), Pulau Pinang dan Melaka.


Malah, UEM Sunrise mempunyai kehadiran besar di KL dan akan memulakan satu projek baru tahun depan – pembangunan campuran berupa perumahan berhalaman di Bangi, sekitar setengah jam perjalanan dari KL.


MENERUSKAN MOMENTUM PEMBANGUNAN NUSAJAYA


Dato’ Wan Abdullah juga yakin dan gembira rancangan pembangunan Nusajaya mengikut jadual dan kini pihaknya memberi fokus untuk meneruskan momentum tersebut dengan melaksanakan projek-projek pemangkin yang dapat mewujudkan pekerjaan untuk rakyat Malaysia.


“Hanya dengan mewujudkan pekerjaan, Nusajaya mampu mengekalkan rentak pertumbuhannya.


“Kami akan meniadakan spekulator dan mendapatkan pembeli tulen yang memerlukan hartanah dan rumah untuk tinggal, yang memerlukan lokasi-lokasi untuk menjalankan perniagaan,” katanya.


Menurut beliau, banyak lagi projek sedang dalam perancangan, seperti lebih banyak universiti, taman permainan bertema dan taman perindustrian.


Bahkan, UEM Sunrise telah memeterai usaha sama (JV) dengan Ascendas dari Singapura bagi membentuk sebuah taman teknologi bernilai $1.5 bilion di Nusajaya.


Menjelaskan langkah JV itu, Dato’ Wan Abdullah berkata pelabur lebih mengenali Ascendas daripada UEM Sunrise kerana ia lebih tahu tentang ekosistem pelanggan perindustrian dan sekitarannya, selain memiliki senarai pelanggan yang boleh melabur di taman itu.


“Senarai pelanggan sudah ada. Mereka akan memulakan operasi di sini dan akan mewujudkan pekerjaan,” tambahnya.


Nusajaya juga akan membangunkan bandar sukan motor di Gerbang Nusajaya, yang dijangka siap pada 2016.


Projek bernilai $1.4 bilion itu usahasama UEM Sunrise dengan FASTrack Autosports, sebuah syarikat kerjasama antara taikun Singapura, Encik Peter Lim, dengan kerabat di raja Johor.


Ia dijangka mempunyai litar yang memiliki semua syarat yang diperlukan bagi perlumbaan Formula Satu (F1).


“Dengan ini akan ada pekerja yang perlu menjaga litar F1, bilik-bilik pameran, bengkel, semua ini akan mewujudkan pekerjaan.


“Dan pekerjaan-pekerjaan ini bukan untuk warga setempat sahaja malah juga ekspatriat,” ujarnya.


Satu lagi rancangan yang akan diusahakan ialah membina projek-projek yang mempunyai teknologi dan aplikasi ‘bijak dan ketersambungan’ atau smart and connectivity.


KEMBANG SAYAP TAMBAH PERTUMBUHAN


Seperti syarikat-syarikat hartanah besar lain, UEM Sunrise juga telah mengembangkan sayapnya ke luar negara dengan memberi tumpuan kepada beberapa pasaran serantau, seperti Australia, Singapura, Indonesia dan India.


Baru-baru ini, ia membeli dua bidang tanah di kawasan pusat perniagaan (CBD) Melbourne dan berperanan sebagai firma pengurusan dua projek di Singapura, iaitu Duo Residences dan Marina One.


Dua projek itu hasil kerjasama dua hala antara Temasek Holdings dan Khazanah Nasional.


Menjelaskan langkah menyerantau itu, Dato’ Wan Abdullah berkata ia diambil untuk menyumbang kepada pertumbuhan UEM Sunrise kerana ia tidak boleh hanya bergantung pada pendapatan projek-projeknya di Malaysia.


“Sebagai pemaju, anda perlu mempelbagaikan lokasi geografi anda. Kami tidak boleh bergantung pada satu geografi sahaja. Kami perlu berada di beberapa negara,” katanya.


Tetapi pihaknya tidak mahu tergesa-gesa memasuki kawasan-kawasan yang kurang pasti, namun berazam menjadi syarikat serantau di masa depan.


USAH KETINGGALAN


Walaupun pelabur Singapura membentuk 74 peratus daripada keseluruhan pelabur asing yang membeli projek-projek UEM Sunrise di Nusajaya, Dato’ Wan Abdullah menganggap bilangan pelabur Melayu Singapura masih kecil.


Katanya, daripada 100 pelabur Singapura yang melabur dalam projek-projeknya, hanya lima adalah pelabur Melayu.


“Oleh kerana anda mewakili pembaca Melayu, kenyataan jujur saya kepada anda adalah jangan lepaskan peluang-peluang pelaburan ini.


“Saya tidak bersikap perkauman, tetapi pelabur Cina Singapura melabur kerana mereka dapat melihat nilai pelaburan yang baik. Saya harap orang Melayu tidak akan ketinggalan dalam mengambil kesempatan ini,” katanya.


* Laporan ini pernah diterbitkan pada 19 November 2013. Ia disiarkan lagi sebagai mengimbas kembali temuramah kami bersama Dato' Wan Abdullah yang telah meninggal dunia Rabu lalu. Untuk mengetahui lebih lanjut, sila baca laporan bertajuk "Ketua UEM Sunrise meninggal". 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >