Heng: SG50 bangkitkan satu semangat Singapura baru

SEDANG tahun Jubli Singapura menuju ke penghujungnya, orang yang menerajui sambutan kebangsaan itu percaya ia telah membangkitkan satu semangat Singapura baru dan memberi rakyat rasa kekitaan lebih besar.

"Itu bagi saya pencapaian terbesar SG50," kata Menteri Kewangan Heng Swee Keat, yang mengetuai Jawatankuasa Pemandu SG50, lapor akhbar The Straits Times.

Sambutan itu juga menonjolkan enam nilai sangat baik, tambah beliau. Nilai-nilai itu ialah: empati, integriti, harmoni, kepintaran, daya tahan dan tanggungjawab.

Kekuatan itu penting untuk mengukuhkan semangat Singapura bagi mengangkat negara ini ke tahap seterusnya, ujar Encik Heng sedang beliau menilai SG50 dalam temu bual dengan media awal bulan ini.

Pengalaman itu memberi beliau idea bagi pusingan seterusnya, sebahagiannya dipimpinnya sebagai pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Masa Depan.

Bahagian lain ialah siri dialog SGFuture, yang diketuai Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Cik Grace Fu, dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Encik Chan Chun Sing.

Encik Heng mengenal pasti dua bidang tumpuan utama untuk perjalanan baru: mengukuhkan rasa "satu rakyat", dan memastikan ekonomi rancak.

Untuk membina momentum SG50, pemerintah tidak menunggu.

Siri dialog SGFuture bermula bulan ini dan akan berlangsung hingga pertengahan tahun depan, di mana rakyat Singapura akan membincangkan isu-isu seperti membina rumah mampan dan memupuk masyarakat penyayang, antara lain.

Dialog itu akan mendapat inspirasi daripada pameran Masa Depan Kita yang sedang berlangsung, yang membentangkan senario kehidupan yang mungkin wujud di Singapura pada masa depan. Ia akan dianjurkan oleh pertubuhan tidak cari untung dan agensi pemerintah.

Namun di luar acara perbincangan, Encik Heng mahu menggalak orang ramai mengambil tindakan dan menjadikan idea-idea mereka kenyataan, misalnya, memulakan projek mereka sendiri atau menjadi sukarela dengan pertubuhan tidak cari untung sedia ada.

Untuk membantu meningkatkan usaha mereka, beliau berkata emerintah akan mencari jalan untuk menyokong projek SGFuture, seperti memudahkan jalinan atau menunjuk kepada kumpulan-kumpulan dana yang mereka boleh mohon.

Jawatankuasa Ekonomi Masa Depan sedang bersiap sedia untuk memulakan tugas tahun depan dan terdapat rancangan mendapatkan warga biasa Singapura terlibat dalam perbincangan, kata Encik Heng.

Walaupun pemerintah memainkan peranan penting dalam mendapatkan dasar-dasar ekonomi betul, tenaga untuk melakukan yang lebih baik di tempat kerja dan kreativiti bagi memulakan perniagaan baru mesti datang daripada rakyat, katanya.

Menyeru rakyat Singapura supaya mengambil bahagian dalam membentuk masa depan negara, beliau berkata: "Marilah kita menggerakkannya melebihi Perbincangan Singapura Kita, dan sambutan SG50.

"Marilah kita memulakan satu lagi fasa baru pembangunan negara kita, yang menggerakkan semua rakyat Singapura... untuk memberi idea dan untuk bertindak mengikut idea-idea itu."

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 45
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.