Hepatitis C SGH: Pemerintah sedia bentuk COI jika WP sedia pimpin keterangan

PARTI Pekerja (WP) menyeru pada Ahad (25 Okt) agar satu Jawatankuasa Siasatan (COI) dibentuk bagi menyiasat kelompok jangkitan penyakit hepatitis C di Hospital Besar Singapura (SGH).

Pemerintah telah respons dengan mengatakan ia akan membentuknya jika WP bersedia "memimpin dalam memberi keterangan" di depan COI itu bagi membuktikan tuduhan yang ia mungkin ada.

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) WP, Encik Leon Perera, menyeru dalam satu kenyataan agar sebuah jawatankuasa semakan bebas yang dibentuk Kementerian Kesihatan (MOH) bagi menyiasat kes jangkitan itu disusun semula menjadi sebuah COI.

Alasan beliau ialah kejadian itu "sekurang-kurangnya sama serius" dengan kerosakan MRT pada 2011 dan rusuhan Little India pada 2013, yang kedua-duanya disiasat oleh COI.

Pada Ahad malam, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kesihatan Gan Kim Yong, Cik Lim Bee Khim, menjawab: "Kenyataan WP berhati-hati dengan tidak membuat sebarang cadangan bahawa pegawai SGH atau MOH bertindak dengan motif tidak wajar. Namun, ia meminta diadakan IOC sebelum laporan jawatankuasa itu dan keputusan siasatan polis siap.

"Jika WP percaya ada soalan yang jawatankuasa itu tidak boleh jawab, atau ada sembarang pegawai bertindak dengan motif tidak betul, ia harus nyatakannya secara langsung. Pemerintah akan membentuk sebuah IOC dengan syarat WP bersedia memimpin keterangan di hadapan COI itu, bagi menyokong apa sahaja tuduhan ia mungkin ada."

Setakat ini, 23 pesakit yang dirawat di SGH antara April dan Jun telah didiagnosis dijangkiti hepatitis C di bawah satu kelompok sama.

Dua lagi pesakit telah diuji positif, dan SGH sedang mengkaji apakah mereka sebahagian daripada kelompok itu.

Lapan pesakit telah meninggal dunia, dengan lima kematian mungkin ada kaitan dengan virus tersebut.

MOH telah melantik sebuah jawatan semakan bebas bagi menyemak punca kejadian itu dan keadaan berhubungnya.

Cik Lim berkata jawatankuasa itu telah "mendapatkan pakar sumber tambahan, termasuk penasihat antarabangsa, bagi memastikan ia mempunyai akses kepada semua kepakaran yang diperlukan bagi melakukan semakan secara menyeluruh".

Encik Perera antara lain menyarankan seorang anggota jawatankuasa itu harus terdiri daripada seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Tinggi.

WP juga berkata pemerintah harus secara terang menugaskan jawatankuasa itu menyiasat punca dua "kelewatan panjang" dalam rentetan peristiwa tersebue.

Satu, antara masa SGH menemui jangkitan tersebut pada April dan Mei, dan masa ia memberitahu MOH pada akhir Ogos.

Kedua, antara masa Pengarah Perkhidmatan Perubatan diberitahu pada 3 September, dan masa Menteri Kesihatan diberitahu pada 18 September.

WP menambah: "Seruan kepada pemerintah supaya menjelaskan secara terperinci kelewatan itu tidak harus dijawab dengan permintaan memberi bukti sembarang dorongan tidak sesuai."

Dalam jawapan pemerintah, Cik Lim berkata: "Penemuan dan saranan jawatankuasa itu akan didedahkan kepada umum. Satu laporan polis juga telah difail, dan polis sedang menjalankan siasatan."

Encik Perera kemudian menulis di Facebook bahawa WP mendapati rujukan kepada "tuduhan" yang ia mungkin ada atau tidak "mengelirukan, mengganggu dan tidak membantu".

"Kami tidak membuat tuduhan dalam hal ini. Kami menyeru agar dikukuhkan proses semakan dengan menyusunkan semula jawatankuasa semakan yang ada menjadi sebuah IOC."

Sebagai respons, Cik Lim berkata: "Kami telah menjelaskan kami bersedia membentuk IOC jika WP bersedia memimpin keterangan. Encik Perera tidak mengatakan apakah WP akan melakukannya, dan beliau juga telah mengesahkan beliau tidak membuat sebarangan tuduhan."

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 26
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.