Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RENCANA

Hubungan baik ibu bapa, guru prasekolah bantu perkembangan anak

Sep 24, 2023 | 05:30 AM



Hubungan baik antara ibu bapa dengan guru prasekolah membolehkan kedua-dua pihak berkongsi tentang kemajuan dan perkembangan si kecil agar kegiatan dan rancangan pelajaran yang sesuai dapat dijalankan untuknya.

Kerjasama kukuh itu juga membolehkan ibu bapa dan guru saling memberi maklum balas tentang kelakuan seorang kanak-kanak itu di rumah atau sekolah yang luar biasa atau mungkin kurang sesuai.

Demikian dikongsi Pengurus Sokongan Pembelajaran dan Pembangunan E-Bridge, Cik Seri Rahayu Ariff; guru bahasa ibunda di Pusat Pembangunan Kanak-Kanak Iyad Perdaus, Encik Kamal Hariz Othman; dan penerbit filem, Cik Fizah Nizam; dalam podcast #NoTapis Berita Harian (BH) berjudul ‘Besarnya impak pendidik prasekolah pada si kecil’.

Episod itu, yang boleh didengar di Spotify, membincangkan tentang kesan besar guru prasekolah pada murid di bawah jagaan mereka dalam jangka panjang.

Cik Seri Rahayu, yang telah berkhidmat dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak selama hampir 30 tahun, berkata sebahagian daripada tugas guru tadika adalah untuk mempunyai hubungan rapat dengan ibu bapa supaya guru dapat membincangkan atau memberi perkembangan terkini tentang kemajuan yang telah dicapai si kecil.

Guru juga perlu berkomunikasi dengan ibu bapa untuk mengumpul maklumat tentang anak mereka dalam usaha memahami cara pembelajaran kanak-kanak itu, dan bagaimana rancangan pelajaran boleh disesuaikan dengan kebolehannya.

“Dengan adanya hubungan yang baik, kita boleh berkongsi maklumat tentang perkembangan anak-anak mereka. Guru prasekolah mempunyai pengalaman yang mendalam untuk mengenal pasti titik permulaan seorang anak itu kerana tidak semua orang bermula pada titik permulaan yang sama. Dengan mendapat maklumat daripada ibu bapa dan juga pengalaman atau pengetahuan kita, kita boleh merancang kegiatan yang boleh bermanfaat untuk anak itu,” katanya.

Encik Kamal, yang mengajar dua kelas dengan jumlah 34 murid, berkata kebolehan murid-muridnya memang sangat berlainan, justeru sebelum mengajar, beliau akan menyemak dahulu rancangan pelajaran dan melihat aspek mana yang boleh dipermudahkan atau dijadikan lebih mencabar.

“Kami pendidik telah dilatih untuk berbuat demikian. Selepas mengajar, kami juga digalakkan memikirkan tentang sama ada penyesuaian itu berkesan ataupun tidak. Ia membantu kita mengenal dengan lebih lanjut tentang kanak-kanak yang berlainan kebolehan dan juga untuk memikir tentang apakah yang boleh saya lakukan untuk memperbaiki cara pengajaran saya,” katanya yang berpengalaman hampir empat tahun sebagai pendidik di prasekolah.

Bagi kanak-kanak yang memerlukan lebih bantuan, Encik Kamal berkata guru-guru akan menyediakan pelan pembelajaran individu, dan beberapa strategi untuk murid tersebut menangani cabaran yang dihadapi.

“Kita juga harus memberitahu ibu bapa tentang strategi yang kita gunakan supaya ada kesinambungan antara sekolah dan juga di rumah. Ini kerana kadangkala mereka buat di rumah tetapi tidak buat di sekolah, atau sebaliknya. Itu akan menyebabkan kekeliruan dan susah sedikit untuk anak itu berkembang,” katanya.

Bagi Cik Fizah, hubungan baik dengan guru akan dapat membantu ibu bapa lebih memahami perubahan yang dilihat pada diri anak.

“Mungkin sekiranya dia balik, dia ada lukisan-lukisan yang kurang memuaskan hati, pertama sekali apa yang saya akan lakukan ialah tanya mengapa dia melukis begitu, siapa yang dia tiru dan sebagainya. Saya akan dengar daripadanya dulu, dan sering kali dia bercakap benar. Kadangkala dia kata dia nampak di televisyen, sebagai contoh. Saya tidak boleh terus kata ‘eh sekolah ni, apa yang dia ajar?’,” kata ibu tiga anak berusia tujuh, enam dan empat tahun itu.

“Kemudian selepas itu baru saya akan berbual dengan gurunya. Saya akan tanya apakah guru itu melihat sesuatu perkara itu berlaku di sekolah sebab anak saya buat macam ni. Guru itu mungkin akan kata ya, mereka melihatnya juga, sebagai contoh,” tambahnya.

Encik Kamal berkongsi tentang satu kejadian baru-baru ini di prasekolah tempat beliau mengajar, dengan berapa murid menonton video yang menurutnya tidak masuk akal dan tidak mempunyai sebarang nilai.

“Video itu mengandungi lagu jadi kanak-kanak ini datang ke sekolah dan nyanyi lagu itu,” katanya.

Beliau juga berkata mimik muka watak dalam video itu menyeramkan tetapi kanak-kanak sukakannya.

“Jadi saya perlu memberitahu mereka ‘Saya tidak mahu mendengar anda menyanyikan lagu ini. Maaf, saya tidak mahu mendengarnya.’ Saya juga akan memberitahu ibu bapa mereka.

“Ini sebabnya mengapa kerjasama antara ibu bapa dengan guru sangat penting. Kadang kala ibu bapa pun tidak tahu apa yang ditonton anak-anak mereka, atau video itu bukan sesuatu yang ibu bapa biarkan anak mereka tonton tetapi video itu muncul.

“Jadi mungkin jika saya beritahu ibu bapa, mereka boleh membantu memantau apa yang anak-anak tonton di rumah,” kata Encik Kamal.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >