Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ibu bapa tabah urus bayi lahir dengan masalah injap jantung

Jul 23, 2023 | 05:30 AM



Sebaik sahaja melihat raut wajah panik pakar sonografnya yang turut memanggil rakan sekerjanya untuk mendapat kepastian terhadap pemeriksaan ultrabunyi yang sedang dilakukan, Cik Nurulaini Ruslan dapat berasakan bahawa ia bukan satu petanda baik.

Namun beliau memilih untuk tidak berfikiran negatif dan memberitahu dirinya bahawa tiada perkara buruk akan menimpa anak dalam kandungan yang bakal dilahirkan dalam masa beberapa minggu.

Bagaimanapun, naluri seorang ibu tidak pernah salah.

Kebimbangan beliau menjadi kenyataan selepas pakar obstetrik dan ginekologi beliau menyampaikan berita buruk bahawa kandungannya mengalami masalah jantung.

“Semasa menjalani pemeriksaan kehamilan bulanan saya, saya tidak bersedia untuk mendapat sebarang berita buruk.

“Jangkaan saya ia seperti pemeriksaan rutin lain, dan oleh kerana saya sudah hamil 32 minggu, mereka mahu membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan keadaan saya dan bayi baik-baik sahaja.

“Dan memandangkan ia merupakan kali ketiga saya akan melahirkan anak, saya ke hospital seorang diri kerana suami saya bekerja.

“Disebabkan perasaan tidak sedap hati, saya terus menghubungi suami dan memberitahu beliau mungkin terdapat masalah pada kandungan saya. 

“Doktor mengesahkan syak wasangka saya semasa beliau menyampaikan berita itu kepada saya.

“Doktor tidak menjelaskan lebih lanjut tentang keadaan kandungan saya, mungkin kerana mereka bukan pakar dalam bidang ini,” kata Cik Nurulaini, berkongsi pengalaman pahit awalnya kepada Berita Minggu (BM).


Cik Nurulaini, 32 tahun, meninggalkan hospital dengan penuh rasa sedih dan pada masa yang sama berasa amat kecewa. 

Suaminya, Encik Alfa Eka Prima Muhd Sufaat, akur bahawa mereka sekeluarga amat terkejut dan tidak dapat menggambarkan betapa seriusnya keadaan anak mereka yang belum lagi melihat dunia.

Mereka kemudiannya dipindahkan ke Hospital Kanak-Kanak dan Wanita KK (KKH) dari Hospital Besar Singapura (SGH) untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Ketika itulah Cik Nurulaini dan Encik Alfa mendapat tahu bahawa anak ketiga mereka mengalami masalah jantung kongenital yang dikenali sebagai ‘Severe Mitral Valve Regurgitation’.

‘Severe Mitral Valve Regurgitation’ atau Regurgitasi Injap Mitral yang Teruk, ialah sejenis penyakit injap jantung dengan injap antara ruang jantung kiri tidak tertutup sepenuhnya, darah sebaliknya mengalir ke belakang merentasi injap.

Apabila kebocoran teruk berlaku, tidak cukup darah akan bergerak melalui jantung atau ke seluruh badan mengakibatkan pesakit mudah berasa sangat letih atau mengalami sesak nafas.

Cik Nurulaini and Encik Alfa juga diberitahu bahawa keadaan itu jarang berlaku kepada kanak-kanak, apatah lagi bayi yang baru dilahirkan.

Lantaran bimbang sama ada bayi mereka akan dapat hidup apabila dilahirkan nanti, banyak soalan diajukan pasangan itu kepada doktor mereka. 

“Kami ingin tahu tentang peluang kelangsungan hidup bayi kami sebaik sahaja dia dilahirkan dan jenis pembedahan yang perlu dia lalui… semua soalan itu.

“Namun doktor tidak dapat memberi sebarang pengesahan kepada kami,” kongsi Cik Nurulaini lagi.

Mereka tahu bahawa menggugurkan kandungan bukanlah satu pilihan. Apa yang mereka boleh lakukan ialah berdoa dan menyerahkan semua kepada takdir.

Apabila Eisa Airil dilahirkan pada April melalui proses bersalin secara induksi, kededua ibu bapanya tahu mereka perlu melakukan segala-galanya untuk memastikan bayi mereka dapat pulih.

“Kami masih menaruh harapan bahawa dia boleh pulang bersama kami dan bermain dengan adik-beradiknya suatu hari nanti,” kata Encik Alfa.

Dua lagi anaknya berusia empat dan dua tahun. 

Beberapa hari lalu, Eisa dipindahkan keluar dari unit jagaan rapi kanak-kanak (CICU) ke Unit ‘Step Down’ Kanak-Kanak – memberikan satu sinar harapan.

Cik Nurulaini berkongsi bahawa bayinya juga sedang pulih dengan baik selepas menjalani pembedahan jantung terbuka sulungnya. 

Kini satu lagi cabaran yang mereka hadapi ialah bil perubatan yang tinggi, dianggarkan berjumlah lebih $92,000, kata Cik Nurulaini.

“Ini hanyalah kos anggaran dan ia tidak termasuk kos bagi penjagaan di rumah selepas Eisa dibenarkan keluar serta sewa peralatan perubatan seperti alat pernafasan ventilator.

“Walaupun selepas semua subsidi, jumlah tersebut masih besar buat kami,” tambah Cik Nurulaini, seorang suri rumah. 

Justeru, mereka amat berbesar hati apabila ramai tampil menghulurkan bantuan derma. 

Cik Nurulaini dan Encik Alfa telah membuka sebuah akaun Instagram hopeforeisa, yang mengongsi perjalanan Eisa dan meningkatkan kesedaran tentang ‘Severe Mitral Valve Regurgitation’. 

Sambil menahan air mata, Cik Nurulaini berkata: “Alhamdulillah kami amat bersyukur ramai yang telah tampil memberi bantuan, sokongan serta kata-kata semangat buat kami dan Eisa.

“Kalau sebelum ini saya berasa keseorangan, kini saya lega kerana tahu ramai yang prihatin.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >