Iltizam pemerintah penting bagi kedaulatan undang-undang: Hakim Besar

BEBERAPA minggu selepas Mahkamah Rayuan membebaskan raja kelong bola sepak Dan Tan daripada tahanan tanpa bicara, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengkaji semula kedudukan undang-undangnya dan membebaskan tiga lagi orang yang ditahan secara serupa.

Menyebut kes itu sebagai contoh dalam satu ucapan di Amerika Syarikat baru-baru ini, Hakim Besar (CJ) Sundaresh Menon berkata mahkamah tertinggi itu membebaskan Tan berdasarkan keputusan bahawa penahanannya dibenarkan hanya jika kegiatannya menyebabkan kemudaratan di Singapura.

Namun, alasan bagi penahanan Tan gagal menunjukkan bagaimana kegiatannya memudaratkan Singapura.

Tan ditangkap semula kemudiannya dan ditahan atas alasan baru yang menyatakan ancaman kegiatannya ke atas Singapura.

Menarik perhatian bahawa menyusuli keputusan Mahkamah Rayuan itu, MHA mengkaji semula dan membatalkan penahanan tiga lagi orang, Encik Menon berkata adalah penting pemerintah menunjukkan iltizam dalam mematuhi undang-undang yang dinyatakan oleh badan kehakiman, demi kedaulatan undang-undang dan tadbir urus baik.

Dalam ucapannya kepada Institut Undang-Undang Amerika di Washington minggu lalu, beliau memberi tumpuan pada peranan penting yang dimainkan mahkamah dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

Encik Menon satu-satunya warga Singapura yang terpilih menjadi ahli institut tersebut, sebuah pertubuhan bebas yang ditubuhkan pada 1923 bagi menghasilkan kerja ilmiah untuk menjelaskan, memodenkan dan meningkatkan undang-undang.

Dalam ucapan bertajuk Kedaulatan Undang-Undang: Laluan Ke Eksepsionalisme, beliau berkata walaupun terdapat perbezaan luas dalam sistem undang-undang, sejarah dan budaya Amerika dan Singapura, kedua-dua negara berkongsi komitmen pada kedaulatan undang-undang, walaupun penggunaannya boleh berbeza dari segi amalan.

Beliau berkata para pemimpin pengasas Singapura memahami peri perlu badan kehakiman bersih, cekap dan bebas dalam sekitaran yang berusaha menarik pelaburan dari luar negara bagi memacu pertumbuhan ekonomi.

Encik Menon juga berkata Cik Christine Lagarde daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) memetik Singapura sebagai contoh institusi awam jujur dan cekap.

Beliau berkata kesetiaan Singapura pada kedaulatan undang-undang "wujud dengan selesa bersama" penekanan pada nilai komunitarian - yang melibatkan dialog, toleransi, kompromi dan mendahulukan masyarakat daripada diri sendiri - melebihi nilai individu.

Dalam satu kes di mana Mahkamah Rayuan diminta mengkaji semula keputusan yang dibuat oleh Pesuruhjaya Buruh melibatkan doktrin kontroversi, mahkamah itu tidak membuat sebarang keputusan mengenai doktrin tetapi menyediakan panduan bagi pemerintah mengenai isu-isu yang harus diteliti dalam kes-kes pada masa depan.

"Apa yang mendasari pendekatan ini ialah keyakinan bahawa mahkamah yang dihormati oleh badan lain pemerintah boleh dengan berkesan membentuk perbahasan dan memastikan kesahihan tindakan pemerintah dengan menyatakan kebimbangannya secara terbuka dan berpotensi menghindarkan pertembungan antara badan kehakiman dan eksekutif," kata Encik Menon.

Beliau menambah bahawa konfrontasi mungkin tidak dapat dielak tetapi badan kehakiman mesti berdiri teguh sebagai barisan pertahanan terakhir.

"Kajian semula kehakiman mata pisau tajam yang memastikan tindakan pemerintah mematuhi bentuk dan kandungan undang-undang," ujarnya.

Encik Menon menegaskan: "Dalam analisis akhir, keteguhan rangka kerja kedaulatan undang-undang negara banyak bergantung pada bagaimana cawangan lain pemerintah melihat badan kehakiman dan sama ada ia, seterusnya, boleh dan bersedia bertindak dengan jujur, cekap dan bebas."

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 53
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.