Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Impian jadi pemain golf profesional kian jadi kenyataan

Apr 22, 2018 | 05:30 AM



PADA usia dua setengah tahun, sedang ramai kanak-kanak sebaya lain masih belum tahu mengesat hingus apalagi bersukan, Abdul Hadi Uda sudahpun pandai menghayun kayu golf.



Manakan tidak.



Pada usia sekecil itu beliau sudahpun didedahkan kepada sukan itu oleh ayahnya, Encik Uda Thith Abdul Ghaffar, 50 tahun, seorang kaki golf.



Sejak mula lagi, Encik Uda, seorang eksekutif syarikat perdagangan, menaruh harapan agar satu hari nanti satu-satunya anak bujang beliau dalam keluarga empat beradik itu akan menonjol dalam sukan itu.



Impian itu kian menjadi kenyataan.



Abdul Hadi, 23 tahun, yang menganggap bekas pemain nombor satu dunia Rory McIlroy sebagai idolanya, telah pun menetapkan matlamat untuk menjadi pemain pro menjelang Oktober ini.



Beliau dijangka menamatkan tempoh Perkhidmatan Negara (NS) sebagai Inspektor dalam Pasukan Perlindungan Keselamatan Polis minggu depan dan berharap dapat menjalani latihan intensif menjelang peralihan menjadi pemain pro.



Langkah tersebut merupakan satu lagi mercu tanda penting dalam perjalanan yang bermula di padang latihan golf Green Fairways di Bukit Timah, tempat beliau mula-mula mengetuk bola golf, lebih 20 tahun lalu.



"Sudah lebih 10 tahun saya bermain secara kompetitif sebagai pemain amatur. Saya masih berasa seronok bermain golf dan mahu terus memperbaiki tahap permainan saya.



"Jadi, menjadi pro merupakan pilihan semulajadi. Sebagai pemain pro, masih banyak yang boleh saya perbaiki kerana golf jenis sukan yang akan sentiasa mencabar anda.



"Anda tidak mampu berpuas hati kerana akan ada sahaja kelemahan yang boleh terus diperbaiki," kata bekas pelajar Sekolah Sukan itu dan lulusan Diploma dalam Sukan dan Pengurusan Riadah di Politeknik Republik.



Buat masa ini, Abdul Hadi, yang menetap di Bandar Uda Utama di Johor Baharu bersama ibu bapa dan tiga adik perempuannya, berulang alik antara Singapura dan seberang tambak untuk menjalani tugasan NS dan latihan golf.



Beliau, yang bernaung di bawah Raffles Country Club (RCC) sebagai pangkalan latihan dan merupakan pemain skuad golf kebangsaan, meluangkan purata empat jam sehari berlatih.



Tempoh latihan dilanjutkan kepada sekitar lapan jam sehari menjelang setiap pertandingan golf.



Sebagai pemain amatur, Abdul Hadi telah mengecapi beberapa kemenangan termasuk kejuaraan kejohanan golf amatur anjuran Persatuan Golf Malaysia di Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Pulau Pinang.



Namun demikian, beliau menyifatkan kejayaan merangkul pingat perak golf berpasukan bersama skuad negara di Sukan Sea Singapura pada 2015 sebagai pencapaian paling manis dan membanggakan.



"Bermain di padang sendiri dan mewakili negara merupakan satu pengalaman yang sukar saya lupakan. Walaupun gagal menang pingat emas, saya tetap berpuas hati kerana telah memberikan saingan terbaik," ujar beliau yang masih solo dan menganggap pemain tersohor Singapura, Mardan Mamat, sebagai mentornya.



Kini, tumpuan utama beliau adalah pertandingan Sukan Asia di Jakarta Ogos ini dan Kejuaraan Amatur Amatur Asia Pasifik di Sentosa Oktober ini yang memberi laluan kepada pemenang untuk menyertai dua kejuaraan berprestij dunia - Terbuka Britain dan Kejohanan Masters.



Ditanya apakah matlamat beliau sebagai pemain pro, Abdul Hadi merenung jauh seraya berkata:



"Dalam tahun-tahun awal menjadi pemain pro, saya mahu tumpukan perhatian pada kejohanan di Jepun dan Tour Asia.



"Dari situ, kita tengoklah bagaimana pencapaian saya dan saya mungkin mahu menetapkan matlamat lebih jauh."




Tip baiki pukulan golf



PEMAIN golf amatur Singapura, Abdul Hadi Uda, yang di ambang menjadi pemain pro sukan itu, mengongsi tiga tip berikut untuk membaiki pukulan golf.



1. Tegapkan postur badan



Pastikan anda membuat persediaan (set up) yang betul dan mantap sebelum menghayun kayu golf.



Tegapkan postur badan dan pastikan anda berada dalam posisi yang seimbang dan atletik. Jangan membongkok.



Tubuh badan anda harus berada dalam keadaan yang relaks dan tidak terlalu tegar hingga boleh mewujudkan tekanan dan menjejas pukulan anda.



2. Usah hayun terlalu kuat



Pemain golf hujung minggu biasanya menghayun kayu golf terlalu kuat kerana ingin membuat pukulan jauh. Jangan buat kesilapan ini.



Fokus pada membuat pukulan yang lancar dan mantap. Jangan hayun terlalu kuat hingga menjejas imbangan badan anda. Akhiri pukulan golf anda dengan posisi badan yang seimbang dan stabil - bukan terhuyung hayang.



3. Usah banyak berfikir tentang aspek teknikal



Ini merupakan kesilapan biasa. Usah serabutkan fikiran anda dengan bermacam unsur-unsur teknikal seperti kedudukan kayu golf dan pergerakan anggota tubuh badan di setiap sudut sebelum membuat hayunan. Ini akan menjejas fokus anda.



Sebaliknya, tumpukan perhatian pada beberapa aspek deria seperti daya genggaman dan tempo serta rasakan pergerakan hayunan. Cuba bayangkan bentuk penerbangan bola yang diinginkan.



Tip ini akan menghilangkan tekanan dan membuat hayunan anda lebih teratur, mantap dan lancar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >