MESKIPUN individu yang telah divaksin masih boleh terkena jangkitan Covid-19, kadar jangkitan dalam golongan itu kekal rendah, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.
Encik Ong berkata sekitar 0.5 peratus daripada individu yang telah divaksin sepenuhnya dengan vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna telah dijangkiti koronavirus itu.
Beliau menambah bahawa data empirik juga menunjukkan keberkesanan vaksin adalah sekitar 40 peratus terhadap jangkitan oleh varian Deltan bagi vaksin mRNA tersebut.
"Vaksinasi kekal penting terhadap perjuangan kita menentang Covid-19... kedua-dua vaksin kekal berkesan dalam memberi perlindungan terhadap penyakit teruk disebabkan jangkitan Covid-19," kata beliau di Parlimen semalam dalam menjawab soalan berhubung cara negara ini menangani pandemik itu.
Bagi vaksin Sinovac pula, Encik Ong berkata jumlah mereka yang telah mendapatkan vaksin itu adalah rendah pada kurang 2 peratus penduduk, dan belum ada data yang bermakna untuk mengukur keberkesanannya.
Beliau berkata data menunjukkan bahawa seperti vaksin mRNA, individu yang telah mendapatkan vaksin Sinovac juga boleh terkena jangkitan Covid-19, tetapi ia memberikan perlindungan terhadap penyakit teruk.
Terdapat beberapa data antarabangsa yang sedia ada, termasuk satu kajian agak luas yang dilakukan awal tahun ini di Chile yang menggunakan campuran vaksin, dan juga negara-negara jiran yang telah mengeluarkan data.
Sehingga kelmarin, lebih 1,900 individu telah mendapatkan dos pertama vaksin Sinovac, dan sekitar 1,300 individu telah selesai rejimen vaksinasi penuh itu.
Individu yang belum divaksin sepenuhnya disebabkan keprihatinan tentang kerumitan perubatan atau kerana mereka mengalami kesan sampingan teruk selepas dos pertama vaksin mRNA boleh mendapatkan vaksin Sinovac di hospital awam.
Ditanya sama ada pemerintah akan memberikan pendaftaran penuh kepada vaksin Pfizer-BioNTech, Encik Ong berkata perkara itu adalah sesuatu yang mereka sedang teliti setelah data susulan jangka panjang tersedia sepenuhnya, dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menyelesaikan penilaiannya.
Pemerintah juga sedang menanti bagi Pfizer-BioNTech memfailkan data mereka bersama HSA untuk melanjutkan penggunaan vaksin itu bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, tambah beliau.
Memberi butiran terkini berkenaan program suntikan penggalak di sini pula, beliau berkata sekitar 550,000 individu telah pun diundang untuk mendapatkan suntikan dos ketiga mereka sejauh ini.
Daripada jumlah itu, 350,000 daripada mereka telah mendapatkan dos ketiga mereka atau membuat janji temu, dengan 240,000 daripadanya telah selesai menerima suntikan mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg