Indonesia bantah Singapura ambil tindakan terhadap syarikat ada kaitan dengan jerebu

JAKARTA: Indonesia telah menyampaikan "bantahan kuat" kepada Singapura kerana menuntut syarikat berpangkalan di Indonesia yang disyaki ada kaitan dengan jerebu seluruh rantau ini menjelaskan langkah-langkah yang telah diambil mereka bagi menangani kebakaran di tanah mereka, jurucakap Kementerian Luar Indonesia mendedahkan pada Khamis (12 Mei).

"Merujuk kepada beberapa kes di mana ahli perniagaan Indonesia disoal siasat... kami telah menyatakan bantahan keras kami melalui duta kami di sana," kata jurucakap Arrmanatha Nasir kepada pemberita.

"Kami menegaskan bahawa undang-undang oleh Singapura pada dasarnya tidak harus menjejas perdagangan dan kerjasama baik antara kedua-dua negara," katanya.

Syarikat pulpa dan kertas yang melanggar undang-undang telah dipersalah kerana menyebabkan kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia yang membawa kepada jerebu tebal di seluruh rantau ini pada September dan Oktober tahun lalu.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) telah memberi notis kepada enam syarikat berpangkalan di Indonesia, meminta mereka menggariskan langkah-langkah yang mereka ambil untuk memadam dan mencegah kebakaran di tanah mereka.

Dalam langkah terbaru, NEA berkata pada Rabu bahawa ia telah memperoleh waran mahkamah terhadap pengarah sebuah syarikat Indonesia yang gagal hadir temuduga dengan pihak berkuasa di Singapura walaupun diberi notis undang-undang untuk berbuat demikian ketika beliau berada di Singapura.

Pengarah itu, yang telah meninggalkan Singapura, boleh ditahan "bagi maksud siasatan" jika beliau cuba memasuki Singapura, kata seorang jurucakap NEA, tanpa menyebut nama atau syarikatnya.

NEA berkata langkah tersebut mengikut Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura, yang diluluskan di Parlimen pada 2014, yang membenarkan pihak berkuasa menghukum mereka yang menyebabkan atau membiarkan kebakaran yang mengakibatkan jerebu tahap tidak sihat di Singapura.

Encik Arrmanatha mengulangi bahawa pemerintah Indonesia tidak menyokong undang-undang itu.

"Dari awal, pemerintah kami telah menyampaikan bantahan kami terhadap undang-undang di Singapura itu," katanya.

"Kami akan terus berunding, dan masih berunding, dengan pemerintah Singapura supaya pemakaian undang-undang itu tidak menjejas syarikat Indonesia serta kerjasama perdagangan antara dua negara secara umum," katanya.

Langkah terbaru NEA datang selepas Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, memberitahu pemberita bulan lalu bahawa hanya dua daripada enam syarikat itu telah menjawab.

Beliau berkata pengarah tersebut, daripada salah satu daripada baki empat syarikat itu, telah diberi notis untuk memberi maklumat mengenai langkah syarikatnya untuk mengurangkan kebakaran di tanah mereka dan mencegah berulangnya jerebu tahun lepas.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 63
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.