Indonesia beri pemaju amaran usah dakwa pulau milik Singapura

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia telah memberi amaran kepada sebuah syarikat Singapura supaya jangan membuat dakwaan bahawa sebuah pulau peranginan berhampiran Batam sebagai milik Singapura.

Syarikat pemaju berpangkalan di Singapura itu, Funtasy Island Development (FID), menamakan semula Pulau Manis, kelompok enam pulau kecil ke utara Batam, sebagai 'Funtasy Island' apabila ia baru-baru ini melancarkan peta resortnya, lapor akhbar Jakarta Post pada Rabu (1 Jun).

Pulau-pulau itu ditunjukkan dalam warna-warna yang merujuknya sebagai wilayah Singapura, ketua agensi pelancongan wilayah Kepulauan Riau, Encik Guntur Sakti, dipetik sebagai berkata.

"Kami telah meminta penjelasan daripada pihak pengurusan syarikat Singapura itu. Kami memberi mereka amaran supaya tidak melakukan sembarang tindakan mendadak yang akan menarik tanggapan negatif," katanya.

Bagaimanapun, Kementerian Luar (MFA) Singapura berkata pada Selasa bahawa ia "amat hairan" mengenai laporan itu.

"Singapura tidak pernah pertikai kedaulatan Indonesia ke atas Pulau Manis dan tidak menuntut pulau itu," kata jurucakap MFA.

Encik Guntur berkata pihak berkuasa tempatan telah memberi amaran rasmi dan meminta penjelasan daripada syarikat itu pada Isnin, tetapi diberitahu bahawa peta tersebut untuk tujuan pemasaran semata-mata.

Menurut laporan itu, anggota tentera dan tentera laut tempatan telah pergi ke resort tersebut pada Ahad untuk mencacak beberapa bendera merah dan putih Indonesia.

Ketua pangkalan tentera laut Batam, Kolonel Ribut Eko Suyatno, berkata ada rancangan membina sebuah pos tentera laut di kawasan itu bagi menjangka tindakan selanjutnya.

Dipromosikan sebagai sebuah resort taman eko terbesar di rantau ini, Funtasy Island diuruskan secara bersama oleh sebuah syarikat Indonesia dan Singapura, dan telah dibangunkan sepanjang 20 tahun, kata laporan itu.

Pengurus tapak Funtasy Island, Encik Oke Yusma Nurjaman, sebelum ini mendedahkan resort dengan pelaburan bernilai kira-kira dua trilion rupiah ($201.6 juta) itu sudah habis dijual, dan kebanyakan pembelinya dari Singapura.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:04
Isyak
8:19
3 HR PSI: 18
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.