PUAN HALIMAH DIISYTIHAR BAKAL PRESIDEN

Ingin terus tinggal di flat HDB di Yishun

BAKAL Presiden Puan Halimah Yacob bercadang mahu terus menetap di flatnya di Yishun - jika tiada isu keselamatan - selepas menjadi Presiden.

"Tempat kediaman saya adalah sesuatu yang selesa bagi saya dan saya telah pun tinggal di rumah tersebut selama beberapa dekad, dan saya rasa, jika tiada isu keselamatan, saya akan terus tinggal di kediaman saya," kata Puan Halimah, 63 tahun, menjawab pertanyaan wartawan di ibu pejabat Persatuan Rakyat (PA) semalam.

Mencelah, suaminya, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee, 63 tahun, berkata beliau tiada keperluan untuk berpindah kerana rumah mereka kini "sebesar sebuah penthouse".

Jika Puan Halimah terus menetap di unit jumbo - gabungan unit lima bilik dengan unit empat bilik - di tingkat enam blok di Yishun itu, beliau akan menjadi presiden pertama menetap di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Menurut Puan Halimah, beliau dan keluarganya telah menetap di flat itu selama lebih 30 tahun.

Beliau dan Encik Mohamed mempunyai lima anak - dua lelaki dan tiga perempuan berusia antara 26 tahun dengan 35 tahun.

Ditanya sama ada langkah demikian boleh menimbulkan isu keselamatan, Puan Halimah menjawab:

"Berkenaan isu keselamatan, saya akan membiarkan isu ini kepada jabatan keselamatan. Saya rasa mereka tahu bagaimana hendak mengawal keselamatan di sesebuah kawasan."

Sebagai Speaker Parlimen - jawatan yang didukungnya sebelum mengundur diri untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden - Puan Halimah telah menetap di flat tersebut dengan kawalan keselamatan tertentu.

Menurut Puan Halimah, beliau juga dapat menjaga kesihatan dirinya dengan turun naik tangga ke rumahnya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan mengenai kesihatannya.

"Kesihatan saya amat baik. Setiap pagi, saya bersenam sekurang-kurangnya 45 minit," ujar beliau.

Puan Halimah akan menjadi presiden kelapan Singapura dan presiden Melayu pertama dalam 47 tahun selepas mengangkat sumpah di upacara perasmian di Istana hari ini.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
6:54
Zuhur
12:58
Asar
4:01
Maghrib
7:01
Isyak
8:09
3 HR PSI: 36
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.