Insurans percuma bagi semua anggota sepenuh masa dan kerahan NS

SEMUA anggota sepenuh masa dan kerahan Perkhidmatan Negara (NS) akan mendapat perlindungan insuran nyawa dan peribadi percuma yang disediakan Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Skim itu adalah bagi anggota dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), dan akan berkuat kuasa mulai 1 Julai.

Premium bagi insuran nyawa kumpulan dan kemalangan diri kumpulan daripada Aviva itu, yang masing-masing bernilai $150,000, akan dibayar oleh Mindef dan MHA semasa tugas sepenuh masa dan kerahan anggota NS.

Insurans itu meliputi keadaan perubatan sedia ada.

Skim itu antara saranan Jawatankuasa bagi Memperkukuh Perkhidmatan Negara untuk lebih menghargai sumbangan anggota NS.

"Pemberian insurans nyawa dan kemalangan diri ini, yang melebihi rangka kerja kebajikan dan pampasan semasa kami, adalah cara kami mengucapkan terima kasih kepada (anggota NS kita) atas sumbangan mereka kepada pertahanan negara," kata Pengarah Ehwal NS Mindef, Kolonel (NS) Simon Lim.

Sekarang, anggota sepenuh masa SAF mempunyai pilihan menyertai pelan insurans apabila mereka menyertai NS, manakala mereka yang dimasukkan ke dalam SPF dan SCDF akan didaftarkan secara automatik dalam skim insurans dengan premiumnya dibayar daripada elauns bulanan mereka.

Anggota NS dalam SAF yang cedera semasa latihan juga boleh mendapatkan ganti rugi bagi perbelanjaan perubatan.

Perlindungan insurans baru itu akan diperluas kepada anggota tetap di Mindef/SAF dan Home Team (Pegawai Beruniform) semasa tempoh pekerjaan mereka.

Sukarelawan NS daripada Kor Sukarelawan SAF, Konstabel Khas Sukarela SPF dan Unit Bantuan Pertahanan Awam juga akan dilindungi semasa menjalankan tugas rasmi mereka.

Selain itu, anggota NS, anggota tetap dan sukarelawan boleh membeli perlindungan tambahan jika mereka mahu melindungi diri mereka di luar tempoh itu atau melindungi tanggungan mereka di bawah Skim Sukarela.

Skim Sukarela itu, yang menyediakan perlindungan hingga $1 juta bagi insurans nyawa kumpulan dan hingga $600,000 untuk insurans kemalangan diri kumpulan, juga terbuka kepada anggota lain dalam Mindef dan MHA, seperti kakitangan Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan dan kakitangan awam MHA.

Skim itu boleh didapati mulai 1 Julai bagi kakitangan MHA dan 1 Okt untuk kakitangan Mindef.

Pengarah Direktorat Ehwal NS MHA, Kolonel (Bersara) Rupert Gwee, berkata: "Insurans kumpulan ini salah satu cara kami menjaga kesejahteraan pegawai, baik anggota tetap mahupun anggota NS atau sukarelawan, sedang mereka menjalankan tugas mereka memastikan Singapura selamat dan terlindung."

Ketua Eksekutif Aviva, Encik Nishit Majmudar, berkata portal khas yang sekarang disediakan syarikat itu bagi kakitangan Mindef/SAF akan diperluas kepada kakitangan MHA.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 47
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.