Iseas-Institut Yusof Ishak dilancar secara rasmi

IRMA KAMARUDIN

INSTITUT Pengajian Asia Tenggara (Iseas) kini secara rasmi dinamakan semula sebagai Iseas-Institut Yusof Ishak.

Nama institut itu diubah bagi merakamkan sanjungan tertinggi buat mantan Yang di-Pertuan Negara dan Presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak, sempena ulang tahun kelahiran ke-105 beliau hari ini.

Di samping itu, logo baru institut tersebut turut dilancarkan Menteri Pendidikan, Encik Heng Swee Keat, dan Pengerusi, Lembaga Pemegang Amanah Iseas-Institut Yusof Ishak, Profesor Wang Gungwu, semasa majlis penamaan semula institut itu.

Isteri Allahyarham, Puan Noor Aishah, hadir selaku tetamu khas bersama anaknya, Dr Imran Yusof dan menantu beliau.

Satu pameran gambar yang merakamkan perjalanan kehidupan, ideal dan sumbangan Allahyarham Yusof Ishak kepada Singapura turut dilancarkan di institut itu.

Turut dilancarkan adalah sebuah buku bertajuk 'Yusof Ishak - Presiden Pertama Singapura' juga dilancarkan di majlis itu.

Buku tersebut, yang ditulis oleh felo ISEAS-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, menampilkan kisah perjalanan hidup serta perjuangan Allahyarham sebagai antara tokoh perintis Singapura.

Encik Heng dalam ucapannya di majlis penamaan semula ISEAS tadi menyifatkan Allahyarham Yusof Ishak sebagai seorang individu yang percaya pada pemodenan dan sebuah negara berbilang kaum.

Beliau melihat kepelbagaian kaum, bangsa dan bahasa bukan sebagai halangan, namun sebagai satu kekuatan untuk kemajuan yang akan menjadikan Singapura dinamik dan progresif, kata Encik Heng.

Encik Heng menambah semasa Allahyarham memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Negara, Singapura berhadapan dengan pelbagai krisis, termasuk mengharungi tempoh setelah merdeka daripada British, membina hubungan dengan negara jiran, menangani isu penyatuan Malaysia dan Singapura, dan kemerdekaan Singapura beberapa tahun kemudian.

Namun begitu, Allahyarham memilih untuk terus menetap di Singapura.

"Pada waktu itu, apakah yang ini menunjukkan tentang Encik Yusof, yang memilih untuk menetap di Singapura, memimpin sebuah negara baru yang ramai fikir akan gagal, daripada kembali dengan Malaysia?

"Ia menunjukkan beliau percaya pada Singapura - beliau percaya dalam ideal dan prinsip yang Singapura ditubuhkan," kata Encik Heng.

Di samping itu, satu buku yang merakamkan sejarah Iseas-Institut Yusof Ishak sejak empat dekad lalu, bertajuk 'ISEAS: Mempelajari Asia Tenggara', turut dilancarkan di majlis itu.

Buku tersebut ditulis wartawan veteran akhbar The Straits Times, Encik Lee Kim Chew.

Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam Rapat Hari Kebangsaan tahun lalu mengumumkan akan memberi penghormatan kepada Allahyarham Yusof Ishak menerusi tiga cara.

Ini termasuk menamakan masjid baru di Woodlands sebagai Masjid Yusof Ishak; mencipta Kerusi Yusof Ishak di fakulti Sains Sosial di NUS; dan mengubah nama ISEAS kepada ISEAS-Institut Yusof Ishak

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 79
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.