Jawatankuasa bahasa ibunda terima suntikan dana

KEMENTERIAN Pendidikan (MOE) akan memberi suntikan dana tambahan kepada tiga jawatankuasa pembelajaran dan penggalakkan bahasa Ibunda sebanyak 50 peratus - dari $16.6 juta sejak lima tahun lalu kepada $25 juta dalam lima tahun mendatang.

Demikian diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa berucap di majlis pelancaran Bulan Bahasa 2015 di Gardens by the Bay sebentar tadi.

Encik Lee berkata sebanyak $20 juta dana sudah terjamin dari pemerintah, dengan baki $5 juta perlu dikumpulkan masyarakat.

Setiap dolar yang terkumpul akan ditokok dari geran pemadanan pemerintah, tambah Encik Lee.

"Usaha ini ialah untuk mempertingkat dan memperluas program dan aktiviti bagi manfaat lebih ramai pelajar. Ini melibatkan sokongan badan-badan masyarakat dan keluarga," kata beliau.

Bulan Bahasa 2015, yang diadakan selama sebulan, akan menampilkan pelbagai program, acara dan kegiatan yang memaparkan dan menggalak penggunaan bahasa, budaya dan warisan Melayu.

Antaranya ialah persembahan dikir barat dan tarian oleh Projek Bintang dan acara Unggul Bulan Bahasa yang akan diadakan di kawasan perumahan, di mana GRC Tampines, Nee Soon, Jurong dan Choa Chu Kang akan membawa perayaan SG50 kepada penduduk sekali gus.

Majlis pelancaran gemilang itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Encik Zaqy Mohamad; Menteri Kedua (Hal Ehwal Dalam Negeri dan Ehwal Luar) , Encik Masagos Zulkifli.Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Encik Hawazi Daipi; dan Setiausaha Parlimen (Pengangkutan merangkap Kesihatan), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

Turut dilancarkan di majlis itu ialah sebuah buku bertajuk 'Yang Terukir - Bahasa dan Persuratan Melayu Sempena 50 tahun Kemerdekaan Singapura', yang dihasilkan Majlis Bahasa Melayu Singapura.

Buku itu mencerminkan semangat dan sumbangan penulisan Melayu di Singapura serta merakamkan rekod penting yang memaparkan sejarah sastera dan warisan Melayu Singapura.

Dalam majlis itu, Encik Zaqy telah memberi penghargaan kepada perintis sastera dan pendidik Singapura, serta penulis dan duta bahasa yang hadir.

Beliau turut memberi penghargaan istimewa kepada penulis dan penyunting, Allahyarham Cikgu Mohamed Naim Daipi, bagi semangatnya kepada bahasa dan kerjanya bersama sekolah, penulis, rakan kerjasama dan media yang meluas di Singapura dan rantau ini.

"Dengan sokongan pejuang bahasa, aktivis, guru, rakan kerjasama masyarakat dan pemimpin negara yang mempromosikan dan melestarikan bahasa kebangsaan Singapura, Bulan Bahasa tidak berhenti berkembang dan kejayaan dapat dicapai," kata Encik Zaqy.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 69
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.