MENJELANG SYAWAL

'Jika teringin nak makan makanan Raya, saya belilah...'

Mereka berdua tidak dapat melihat kerlipan lampu lap lip yang menyinari di Aidilfitri. Namun, seorang daripada mereka agak beruntung kerana masih berada dalam dakapan keluarga yang prihatin tentang keberadaan dirinya. Yang seorang lagi pula hidup menyepi dan menyendiri dalam menyambut Aidilfitri. Ikuti laporan wartawan kami.

Tukang urut cacat penglihatan hidup sendirian dengan rumah tidak terurus walaupun di Aidilfitri

TATKALA banyak keluarga sibuk membuat persiapan terakhir menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri, bagi Encik Muliana Sairi, 52 tahun, ia tiada bezanya dengan hari-hari biasa.

Tiada kuih Raya di atas meja, tiada juadah Lebaran atau perhiasan sempena perayaan.

Malah, flat sewa beliau di Toa Payoh Lorong 5 kini berada dalam keadaan amat menyedihkan dan tidak terurus.

Sinki di dapur tidak boleh digunakan, lantai di ruang tamu sudah berkulat, bingkai sofa pula kotor dan tidak berkusyen.

Di banyak ceruk rumah yang beliau diami sendirian sejak 10 tahun lalu itu, terdapat barangan tidak digunakan seperti kotak, beg plastik, alat pencukur yang sudah dipakai tetapi dibiarkan berkumpul, kertas tandas yang terlepas daripada gulungan berada di rak-rak dapur dengan warnanya yang sudah bertukar menjadi kekuningan.

"Sebenarnya, bagi saya semuanya simple. Kuih-muih saya tidak boleh buat. Ketupat semua saya tidak tahu. Cuma apa yang saya boleh sediakan ialah baju Melayu dan pakaian saya. Itu sahaja," cerita Encik Muliana yang tidak dapat melihat keindahan dunia sejak berusia enam tahun.

Beliau, yang bertugas sebagai tukang urut di Persatuan Cacat Penglihatan Singapura (SAVH) sejak 2000, menambah:

"Kalau saya kepingin nak makan masakan Raya, saya beli sendiri. Kadang-kadang saya minta kawan saya yang ada keluarga tolong buatkan dan saya beli daripada mereka."

Ada kalanya juga anak bongsu enam beradik itu akan dapat menjamu selera apabila berkunjung ke rumah teman di pagi Raya.

Undangan itu kadangkala sejauh Jurong dan Bukit Panjang dan beliau akan ke sana dengan menaiki MRT.

"Di sana, bolehlah saya dapat rasakan juadah Raya," katanya sambil tersenyum lebar.

Menurut Encik Muliana yang masih membujang, beliau amat merindui suasana menyambut Aidilfitri semasa Allahyarhamha ibunya masih ada sebelum beliau meninggal dunia ekoran serangan angin ahmar. Ketika itu, keluarganya menetap di Kampong Tempeh, Bukit Timah.

"Dulu waktu ibu masih ada... gembiralah. Ibu masak juadah Raya dan kami berkumpul bersama keluarga. Saudara-mara datang rumah dan itu yang paling meriah. Sekarang semuanya senyap...," cerita Encik Muliana yang pernah menetap dengan kakaknya sebelum beliau juga meninggal dunia.

Sejak itu, Encik Muliana terpaksa menggagahkan diri untuk hidup berdikari.

Meskipun keadaan rumah beliau tidak terurus, Encik Muliana mengakui tetap berusaha membayar sewa bulanan $26 bagi flatnya itu di samping bil air lampu antara $40 dengan $50 hasil wang gaji yang beliau perolehi sebagai tukang urut di SAVH.

Adakah beliau mengimpikan Aidilfitri yang berbeza kini?

"Bagi saya, semua sama. Tidak ada apa-apa. Beginilah kehidupan saya. Saya sendirian dan saya terimanya dengan hati yang tabah. Cuma saya berharap sesiapa yang gembira dapat sambut Raya bersama keluarga, ingatlah pada orang seperti saya,'' luahnya.


"Dulu waktu ibu masih ada... gembiralah. Ibu masak juadah Raya dan kami berkumpul bersama keluarga. Saudara-mara datang rumah dan itu yang paling meriah. Sekarang semuanya senyap.
- Encik Muliana Sairi

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 43
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.