Johan tahun lalu berazam pertahan kejuaraan

PASUKAN kategori bawah 35 tahun (U-35), Play To Win, berazam mempertahankan kejuaraannya yang dimenangi tahun lalu dalam Kejohanan Futsal Nasional BeritaHarian.sg 2016 hujung minggu ini.

Pasukan yang terdiri daripada rakan sekolah menengah itu berjaya mengalahkan beberapa pasukan futsal pilihan sebelum menjadi juara, termasuk mengalahkan pasukan Touch N Go dalam peringkat akhir.

Touch N Go pernah menjadi juara bagi banyak pertandingan futsal tempatan dan luar negara.

Pasukan pilihan lain yang berjaya dikalahkan oleh Play To Win termasuk MIB di peringkat suku akhir dan Happy Feet di peringkat separuh akhir.

Dihubungi baru-baru ini, kapten Play To Win, Encik Muhd Jufri Abu Hassan, 25 tahun, berkata:

"Secara jujur, memang ada tekanan tambahan bagi kami kerana kami merupakan juara tahun lalu.

"Namun, kami tidak akan menjadikannya satu hambatan daripada terus fokus dalam permainan kami."

Pasukan itu berlatih sekali seminggu, sama ada di East Coast atau di Yishun, sebagai persiapan menjelang kejohanan.

Namun, latihan lebih intensif sukar dilakukan disebabkan anggota pasukan semuanya sibuk dengan tugas masing-masing.

Menurut pengurus pasukan, Encik Muhd Nurfareez Rohizat, 27 tahun, Play To Win tentunya ingin mengekalkan status juara.

"Kami menyertai acara ini sekali lagi kerana ingin melihat tahap kemahiran kami berbanding pasukan lain. Semestinya kami berharap dapat mencapai impian kami dan mengekalkan trofi," katanya.

Pun begitu, menyertai kejohanan tahun ini hampir tidak menjadi kenyataan kerana Play To Win lambat mendaftar.

Mereka diberitahu tempat bagi kategori U-35 sudah penuh dan tiada tempat kosong lagi, namun bak kata pepatah, kalau sudah rezeki tidak ke mana.

Mereka menerima panggilan dari pihak pengurus acara keesokan harinya menyatakan sebuah pasukan telah menarik diri dan Play To Win diminta mengisi tempat kosong tersebut.

Selain U-35, kejohanan tahun ketiga ini menampilkan lima kategori lain - Bawah 12 Tahun (U-12), Bawah 15 Tahun (U-15), Bawah 18 Tahun (U-18), Atas 35 Tahun (A-35) dan Wanita.

Kejohanan Futsal Nasional BeritaHarian.sg 2016 itu bakal berlangsung di Akademi Bola Sepak Belia Home United (HYFA) di Mattar Road.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 27
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 2,956.130 -2.730