Jumlah kaya raya berkurang tapi bilangan di S'pura tetap antara tertinggi di dunia

BILANGAN individu ultra kaya di Singapura berkurangan tahun lalu (2015) apabila kekayaan global terhakis oleh kelembapan ekonomi, menurut Laporan Kekayaan oleh firma perunding hartanah Knight Frank.

Terdapat 2,360 individu bernilai bersih sangat tinggi - mempunyai aset bernilai AS$30 juta ($42 juta) atau lebih - di Singapura tahun lalu, turun 8 peratus daripada 2014, menurut kajian melibatkan sekitar 400 bank swasta, termasuk 30 di sini.

Biarpun berkurangan, Singapura masih di tangga keenam dalam senarai 20 bandar mengikut pengagihan kekayaan. New York dan London masing-masing di tangga pertama dan kedua. Hongkong di tempat ketiga dan Los Angeles kelima.

Pengurangan di sini itu sebahagian daripada pengurangan 3 peratus bilangan orang kaya raya seluruh dunia tahun lepas. Jumlah itu berkurangan 15 peratus di Malaysia dan 6 peratus di Hongkong.

Bagaimanapun, ia mungkin perkara kecil pada jangka masa terdekat, kerana Asia akan melihat 23,541 individu kaya raya baru dalam tempoh 10 tahun akan datang - pertambahan terbesar di dunia - menurut ramalan laporan tersebut.

Singapura tetap utama dalam pertumbuhan jangka panjang itu, kerana negara ini telah dinamakan sebagai bandar ketiga paling penting di seluruh dunia bagi individu kaya raya pada 2016, di belakang hanya London dan New York.

Ia memotong Hong Kong, yang kini di tempat keempat.

"Persekitaran perniagaan kondusif dan rangka kerja kawal selia jelas di sini telah memperkukuh status Singapura dalam kalangan orang kaya sebagai lokasi pilihan untuk tinggal dan menjalankan perniagaan," kata Ketua Penyelidikan Knight Frank Singapura, Cik Alice Tan.

Singapura juga di tempat nombor satu bersama Britain sebagai negara bagi pelaburan hartanah kediaman tahun ini, dengan 79 peratus daripada responden memberitahu Knight Frank pelanggan mereka akan meneroka pelaburan hartanah di Singapura.

Namun, harga hartanah akan terus sederhana tahun ini, dengan firma itu meramalkan penurunan harga sebanyak 3-6 peratus dalam segmen kediaman swasta secara keseluruhan.

Ini memandangkan pemaju sedang bergelut dengan langkah-langkah penyejukan yang masih menekan permintaan dan bekalan kekal besar.

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 37
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.