Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

'Jurang kemahiran' luas antara pekerja muda dan tua Singapura

Jun 29, 2016 | 10:49 AM



WARGA dewasa muda Singapura berada dalam kedudukan tinggi dari segi celik angka, literasi dan kemahiran menyelesaikan masalah, menurut dapatan satu kajian antarabangsa.



Namun, generasi lebih tua ketinggalan jauh di belakang.



Walaupun ini mencerminkan kemajuan dalam pendidikan dan latihan sejak beberapa dekad lalu di sini, "jurang kemahiran" itu juga menunjukkan masih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kemahiran pekerja lebih tua, kata para pakar.



Kajian 34 negara oleh Pertubuhan bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) itu, termasuk Singapura buat kali pertama, juga mengaitkan tahap kemahiran lebih tinggi dengan gaji lebih baik di sini.



Itu satu lagi alasan bagi pekerja lebih tua terus memperbaiki diri mereka.



Namun, majikan mementingkan kelayakan, dan keseimbangan lebih baik harus dicapai, ujar pengarah OECD bagi pendidikan dan kemahiran, Dr Andreas Schleicher.



Dapatan Program bagi Penilaian Antarabangsa Kecekapan Orang Dewasa (Piaac) OECD itu, yang turut melibatkan negara seperti Australia, Jepun dan Korea Selatan, dikeluarkan pada Selasa (28 Jun).



Golongan usia antara 16 dan 34 tahun di Singapura menduduki tempat kedua di belakang Finland dalam penyelesaian masalah menggunakan alat digital, kelima dari segi celik angka, yang juga didahului Finland, dan kesembilan dalam literasi, yang diketuai oleh Jepun.



Bagaimanapun, markah golongan berusia 45 hingga 65 tahun di sini lebih rendah daripada purata OECD. Mereka berada di kedudukan 31 dalam literasi dan celik angka dan ke-18 bagi penyelesaian masalah.



Perbezaan dalam markah antara generasi muda dan tua di sini itu antara yang paling luas jika dibandingkan dengan negara lain. OECD berkata mungkin antara sebab bagi jurang itu ialah ia dijalankan dalam bahasa Inggeris di sini dan hampir lapan dalam 10 responden berumur lebih 35 tahun berkata mereka bukan penutur asli bahasa itu.



Encik Ng Cher Pong, Ketua Eksekutif Agensi Pembangunan Tenaga Kerja Singapura (MDA), percaya perbezaan itu mencerminkan peningkatan ketara dalam sistem pendidikan dan latihan Singapura sejak 50 tahun lalu.



Namun, Dr Schleicher berkata a "sangat penting" untuk Singapura mencari cara bagi meningkatkan kemahiran pekerja lebih tua, seperti melalui skim seperti SkillsFuture.



SkillsFuture ialah inisiatif nasional untuk melengkapi pekerja dengan kemahiran, dan Dr Schleicher berkata ini boleh "secara dramatik meningkatkan" produktiviti Singapura dan memastikan mereka terus boleh digajikan.



Beliau menekankan kaji selidik itu, yang melibatkan 5,468 warga dan Penduduk Tetap (PR), mendapati tahap gaji di sini dikaitkan dengan kuat dengan tahap kemahiran dan pendidikan.



Peningkatan kira-kira 48 mata dalam markah bagi literasi dikaitkan dengan peningkatan 12 peratus gaji sejam, hampir dua kali ganda purata OECD. Tambahan 3.2 tahun dalam pendidikan membawa kenaikan lebih 30 peratus gaji - lebih dua kali ganda purata OECD.



"Majikan Singapura memberi agak banyak perhatian pada kelayakan formal," kata Dr Schleicher. Tetapi ini mungkin bukan petunjuk baik mengenai kecekapan seseorang.



"Penggunaan kemahiranlah yang mendorong produktiviti, bukan pendidikan bertahun-tahun," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >