Kakitangan sekolah rendah cabul tiga murid adik-beradik

SEORANG pekerja pentadbiran sebuah sekolah rendah mengaku bersalah melakukan penganiayaan seks ke atas tiga adik-beradik lelaki murid sekolah tersebut.

Lelaki berusia 52 tahun itu mula melakukannya ke atas abang sulung pada 2009, semasa dia berusia 11 tahun.

Selepas kanak-kanak itu meninggalkan sekolah tersebut, lelaki berkenaan, yang pada masa itu telah mendapat kepercayaan keluarga mereka, berpaling pada adik-adiknya pula.

Penganiayaan mengejutkan itu terdedah pada Mac 2013, apabila ibu mereka menerima mesej teks daripada lelaki tersebut yang mahu membawa anak keduanya keluar. Beliau bertanya kepada anaknya mengenai perkara itu.

Apabila budak itu diam, adiknya menggalakkannya supaya bersuara. Akhirnya, ketiga-tiga adik-beradik itu mendedahkan apa yang telah berlaku pada mereka dan ibu bapa mereka membuat laporan polis.

Lelaki berkenaan, yang namanya tidak boleh disiar di bawah perintah mahkamah bagi melindungi identiti adik-beradik itu, ditangkap dua hari kemudian.

Pada Khamis (29 Sep), dia mengaku terhadap tiga tuduhan melakukan perbuatan tidak senonoh dengan kanak-kanak, satu tuduhan serangan seks dan satu tuduhan penembusan seks ke atas seseorang kanak-kanak.

Sebanyak 31 tuduhan lagi akan diambil kira apabila hukuman dijatuhkan kelak.

Daripada 36 tuduhan itu, tujuh melibatkan abang sulung, 22 anak kedua dan lima anak bongsu.

Dua tuduhan lain ialah memiliki filem lucah dan filem cetak rompak.

Lelaki kurus dan beruban itu, yang bercakap melalui penterjemah, mengakui berkawan dengan abang sulung itu pada 2009, ketika dia dalam darjah lima.

Dia menghantar budak itu pulang dan membawanya pergi ke taman haiwan dan pusat beli-belah.

Pada tahun itu, dia melakukan seks oral ke atas budak tersebut di pelantar tangga blok HDB. Dia juga menunjukkannya cara melakukan perbuatan lucah tetapi budak itu enggan melakukannya.

Apabila kanak-kanak itu memasuki sekolah menengah, lelaki berkenaan beralih pada adik-adiknya. Dia membelikan mereka kasut dan pakaian, dan memberitahu ibu bapa mereka dia memastikan mereka membuat tugasan rumah.

Ibu bapa mereka menyangka dia prihatin terhadap kebajikan mereka.

Lelaki tersebut memberi perhatian khusus pada anak nombor dua kerana berasa dia lebih patuh.

Kanak-kanak itu didera selama tiga tahun, paling lama dalam kalangan tiga beradik itu.

Lelaki tersebut pernah menganiayainya dan adiknya seorang demi seorang di atas katil yang sama di rumah mereka. Tiada orang lain di rumah mereka ketika itu.

Adik-beradik itu kini berusia 16, 17 dan 18 tahun.

Waktu Solat

Subuh
5:45
Syuruk
7:06
Zuhur
1:13
Asar
4:35
Maghrib
7:17
Isyak
8:30
3 HR PSI: 24
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 3,330.750 -23.960