Kelompok hepatitis C: SGH buat laporan polis

HOSPITAl Besar Singapura (SGH) membuat satu laporan polis pada Selasa (20 Okt), dua minggu selepas ia mendedahkan bahawa 22 pesakit ginjal dijangkiti penyakit hepatitis C ketika menerima rawatan di hospital itu.

Sebagai respons kepada pertanyaan media, SGH berkata: "Selepas siasatan dalaman awal, kami masih tidak dapat menentukan punca kelompok jangkitan itu."

Pada masa ini, jawatankuasa semakan bebas yang dilantik Kementerian Kesihatan (MOH) sedang mengkaji kelompok itu dengan bantuan penasihat antarabangsa.

"Laporan polis telah difailkan supaya polis boleh menentukan apakah terdapat sebarang unsur jenayah," kata SGH, lapor akhbar The Straits Times.

Pada 6 Oktober, SGH mendedahkan bahawa 22 pesakit ginjal dijangkiti hepatitis C dan lapan daripada mereka telah meninggal dunia, dengan lima kematian mungkin dikaitkan dengan jangkitan tersebut.

Dalam satu kenyataan pada Selasam, Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong, berkata dengan bantuan penasihat antarabangsa, jawatankuasa semakan itu akan mengkaji punca kelompok jangkitan hepatitis C di SGH itu dan mengenal pasti jurang atau kelemahan yang perlu diperbaiki.

Walaupun jawatankuasa itu sedang meneruskan tugasnya secara bebas, "kami tidak menolak sebarang punca yang mungkin menjadi penyebabnya", kata beliau, lantas laporan polis dibuat.

Sehingga Selasa, SGH telah memeriksa 593 pesakit bagi virus hepatitis C dan 512 daripada mereka disahkan negatif manakala hasil ujian baki 81 belum siap.

Seramai 296 kakitangan telah diperiksa dan 294 disahkan negatif sementara hasil ujian belum siap bagi dua.

Sementara itu, dua penasihat antarabangsa telah dilantik menyertai jawatankuasa semakan bebas tersebut.

Mereka ialah Dr Scott Dewey Holmberg dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, dan Profesor Trish Perl dari Universiti Johns Hopkins.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 36
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.