Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

'Keluarga besar' gembira dapat sambung semula kegiatan sihat

Jun 15, 2021 | 5:30 AM
SAMBUNG SEMULA RUTIN SIHAT: Mengalu-alukan ketibaan Fasa Tiga (Kewaspadaan Dipertingkat), Cik Norzulaiha (dua dari kanan) gembira dapat berkumpul bersama keluarganya semula. - Foto ihsan NORZULAIHA SAPARI
SAMBUNG SEMULA RUTIN SIHAT: Mengalu-alukan ketibaan Fasa Tiga (Kewaspadaan Dipertingkat), Cik Norzulaiha (dua dari kanan) gembira dapat berkumpul bersama keluarganya semula. - Foto ihsan NORZULAIHA SAPARI -

PEKERJA sosial Cik Norzulaiha Sapari ghairah untuk kembali ke rutin beriadah bersama keluarga dan rakan-rakannya seramai lima orang apabila Singapura memasuki Fasa Tiga (Kewaspadaan Dipertingkat) semalam.

Setiap hujung minggu, beliau kerap meneroka tempat-tempat senaman seperti Taman Punggol Waterway dan Taman Labrador bersama keluarga dan rakannya.

Tetapi, kegiatan itu terbantut apabila Singapura mengehadkan perhimpunan sosial kepada hanya dua orang semasa Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat) sejak bulan lalu.

Cik Norzulaiha, 30 tahun, berkongsi beliau sudah lama menantikan pengumuman kelonggaran langkah sekatan itu dengan keadaan Covid-19 di sini makin terkawal.

"Oleh kerana kakak-kakak saya tidak tinggal di bawah satu bumbung bersama ibu bapa serta suami saya, kami selalu ambil peluang untuk mendekati antara satu sama lain pada hujung minggu dengan bersenam bersama.

"Beberapa minggu ini kami tidak boleh keluar bersama, bahkan dengan ibu bapa saya.

"Sekarang, kami dapat bersenam dan luangkan lebih masa bersama," kata anak bongsu dalam keluarga tiga adik-beradik itu.

Mulai semalam sekatan mula dilonggar di bawah Fasa Tiga secara berperingkat.

Semasa peringkat pertama pelonggaran ini, pengunjung unik ke rumah juga dinaikkan daripada dua kepada lima orang sehari.

Jika keadaan terus terkawal, makan luar di restoran dan pusat makanan akan dibenarkan pada minggu selanjutnya - bermula 21 Jun - dengan langkah jarak selamat lebih ketat dilaksanakan bagi kegiatan yang dianggap menanggung risiko jangkitan lebih tinggi itu.

Sempena Hari Bapa hujung minggu ini, Cik Norzulaiha berkata keluarganya tidak sabar untuk berkumpul bersama.

"Disebabkan kami keluarga yang besar, kita tidak dapat berkumpul bersama semasa perayaan Hari Raya yang lalu.

"Jadi dengan kelonggaran ini, ia memberi kami peluang untuk menyambut Hari Bapa dan bertanya khabar," jelasnya.

Meskipun mengalu-alukan kelonggaran ini, pekerja sosial itu turut berkata beliau tetap berasa bimbang sekiranya jumlah kes jangkitan meningkat.

"Sememangnya pemerintah akan mengambil langkah-langkah pengurusan selamat untuk menjaga keselamatan orang ramai, namun saya masih prihatin sekiranya ada segelintir orang yang tidak endahkan langkah-langkah tersebut.

"Saya berharap warga Singapura akan terus berjaga-jaga dan tidak melanggar sekatan yang masih ditetapkan demi mengelakkan gelombang baru jangkitan Covid- 19," ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg