Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Keluarga damba kepulangan anak kapal warga S’pura yang hilang di perairan Amerika

Jun 22, 2023 | 07:42 PM



Kepulangan yang dinanti-nantikan keluarga Encik Muhammad Furqan Mohamed Rashid setiap kali beliau belayar seringkali berakhir dengan kejutan.

Apakan tidak, anak kapal warga Singapura berusia 25 tahun itu biasanya tidak memaklumkan kepulangannya kepada sesiapa setelah menghabiskan masa berbulan lamanya belayar kerana ingin memberi kejutan manis buat keluarganya.

Namun kali ini, kejutan tersebut lebih-lebih lagi didambakan keluarganya setelah anak bongsu daripada keluarga lima beradik itu dipercayai terjatuh ke dalam laut dari sebuah kapal semasa bertugas di Amerika Syarikat.

Encik Furqan, yang berkhidmat sebagai pegawai kedua di kapal African Cardinal – yang berdaftar di Panama – sedang belayar di Selat Santa Barbara dekat California sekitar 8 malam (waktu Singapura) Selasa ketika kejadian itu difahamkan berlaku.


Abangnya, Encik Fathul Islam Mohamed Rashid, 27 tahun, berkata:

“Beliau kata beliau akan pulang (ke Singapura) dalam beberapa minggu. Biasanya, beliau tidak memberitahu kami tarikh yang tetap kerana beliau suka membuat kejutan.”

Tambahnya, kali terakhir Encik Furqan membuat kejutan sedemikian adalah pada awal Disember 2022 semasa beliau pulang ke tanah air selepas belayar selama beberapa bulan.

Pada penghujung bulan itu juga, beliau keluar belayar lagi dan sejak itu, sudah lebih enam bulan beliau belum pulang ke pangkuan keluarganya.

Encik Fathul berkata adiknya juga sedang mengikuti program posdiploma Bekerja sambil Belajar bagi Maritim (Pegawai Dek Pelaut) di Politeknik Singapura (SP) dan berkhidmat dengan syarikat pengurusan perkapalan setempat, APEX Ship Management.

Berita Harian (BH) sudah menghubungi SP dan APEX Ship Management untuk mendapatkan komen.


Encik Fathul berkata adiknya amat rapat dengan ibu mereka dan akan menghubungi ibunya setiap kali beliau sampai di sesebuah pelabuhan, memandangkan ada kalanya di laut tiada hubungan telekomunikasi.


Tambahnya, kali terakhir Encik Furqan menghubunginya adalah pada 14 Jun apabila adiknya itu mengirimkan ucapan selamat hari lahir kepadanya.

“Kini, kami tahu kami perlu melalui detik ini dengan penuh keimanan.

“Kami percaya kami dapat tangani ujian yang diberikan ini kerana kami yakin Tuhan tidak akan membebankan kami, jadi ini prinsip yang kami pegang sekarang,” jelasnya.

Dalam pada itu, usaha mencari dan menyelamat (SAR) yang dikendalikan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG) telah digantung.

Dalam satu kenyataan di laman web rasminya pada 20 Jun, USCG berkata sebuah helikopter dan dua bot telah dikerahkan bagi operasi itu.

Menurut kenyataannya pada 21 Jun pula, USCG berkata usaha pencarian aktif digantung berikutan operasi selama hampir 15 jam yang meliputi lebih 200 batu nautika persegi yang tidak membuahkan hasil.

Penyelaras misi SAR tersebut, Ketua Pegawai Waran John Rose, menyatakan keputusan menggantung pencarian aktif “bukan mudah dan hanya dibuat selepas usaha menyeluruh telah diambil” untuk mencari orang yang hilang.

Encik Fathul berkata majikan adiknya, APEX Ship Management, menghubungi bapanya untuk memaklumkan tentang kejadian tersebut sekitar 6.30 pagi Rabu.


Ketika dihubungi BH, jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata mereka sedang berhubungan dengan keluarga Encik Furqan.

“Kami akan terus memantau perkembangan serta memberi bantuan konsular yang diperlukan kepada keluarganya dalam masa yang sukar ini,” ujar jurucakap MFA itu.

Dalam satu kenyataan melalui Facebook oleh anggota Sayap Muda Kesatuan Pegawai Kelautan Singapura (SMOU), mereka melahirkan rasa dukacita berhubung berita kehilangan salah seorang anggotanya.







Tambahnya, mereka juga sedang bekerja rapat dengan pihak syarikat dan pihak berkuasa.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >