Kereta elektrik mudah dipandu, sokong usaha mesra alam

Program perkongsian kereta elektrik besar-besaran yang pertama di Singapura dilancarkan secara rasmi baru-baru ini. Apakah yang boleh dijangkakan pengguna terhadap kereta itu dan apakah persoalan yang sering ditimbulkan berkaitan penggunaannya? FARID HAMZAH (farid@sph.com.sg) melaporkan.

KEKOK dan tidak pasti.

Itulah dua perasaan yang saya alami tatkala kali pertama memandu uji kereta elektrik BlueSG.

Tetapi apabila saya mula menyesuaikan diri dengan kereta tersebut, memandunya ternyata amat mudah sekali.

Namun, sebelum menggunakan kenderaan tersebut, saya perlu memuat turun aplikasi BlueSG untuk berdaftar.

Hanya selepas pendaftaran diterima, saya menerima kod bagi mengaktifkan keanggotaan saya di mana-mana stesen BlueSG.

Kemudian saya akan dapat menggunakan kad EZ Link untuk akaun saya.

Gunakan kad tersebut di mana-mana stesen mengecas yang dikhususkan dan mula memandu.

https://youtu.be/IG5RjiGximQ

Saya difahamkan terdapat sebanyak 32 stesen mengecas di seluruh pulau ini bagi kegunaan orang awam.

Secara purata setiap stesen mempunyai empat mesin mengecas dan pada masa ini terdapat sebanyak 80 kereta elektrik di bawah skim kongsi awam itu.

Pada akhir tahun ini, akan terdapat sebanyak 110 kereta sedemikian dengan 165 mesin mengecas di 42 stesen.

Maka tiada masalah bagi pengguna mendapatkan kereta tersebut.

Begitu juga dengan saya semasa mengambil kereta itu di Bishan di mana tersedia empat kereta tersebut yang menanti untuk digunakan orang ramai.

Pada awalnya saya berhadapan sedikit masalah apabila cuba mengeluarkan alat mengecas kereta itu, tapi saya dapat mengatasinya dengan bantuan juruvideo kami.

Tanpa membuang masa saya pun hidupkan enjin menggunakan kunci yang tersedia dalam kereta itu.

Rasa aneh juga apabila melihat gearnya hanya hanya ada fungsi memandu, mengundur dan 'neutral'.

Itu pandangan kali pertama saya tatkala memandu keluar kereta itu dari tempat meletak kereta.

Tapi lama-kelamaan, saya dapat membiasakan diri.

Memandangkan ini kali pertama saya memandu sebuah kereta elektrik, maka saya berasa agak kekok.

Kalau kereta komersial biasa yang saya pandu hanya memerlukan saya menekan pemecut dengan sedikit sahaja, bagi kereta ini, saya perlu menekannya dengan lebih kuat.

Agak 'berat' juga rasanya semasa memandu kereta itu.

Saya cuba menekan lebih pemecutnya tapi kelajuannya tidak banyak berubah.

Tambahan pula keadaan lalu lintas pada ketika itu agak sesak kerana pekerja mula pulang dari pejabat.

Jarang sekali kadar kelajuannya boleh mencapai lebih 70 kilometer sejam (km/h).

Secara keseluruhannya pemanduan agak lancar dan selesa termasuk semasa saya membelok di selekoh.

Menurut laman bluesg, kereta ini mampu meliputi jarak sehingga 200 kilometer dan apabila kadar casnya merosot bawah paras 30 peratus, pengguna akan diberitahu supaya memulangkannya ke stesen BlueSG.

Bayaran penggunaan akan berterusan sehinggalah kereta itu dikembalikan ke stesennya.

Di akhir pemanduan selama 43 minit itu, kos sewa yang dikenakan pada saya ialah sebanyak $21.50.

Mungkin agak tinggi tapi yang pasti ia dapat memelihara alam sekitar.


SEKILAS

Apa itu BlueSG?

BlueSG merupakan khidmat langganan kereta berdasarkan keanggotaan bagi kegunaan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Apa itu kereta biru?

Ia merupakan kenderaan elektrik yang direka khas bagi kegunaan perkongsian yang mampu memuatkan sehingga empat penumpang pada satu-satu masa.

Apakah keperluan bagi menggunakan BlueSG?

Bagi menggunakannya, pemandu mesti berusia 21 tahun ke atas dan mempunyai lesen memandu yang sah. Pengguna juga memerlukan kad debit atau kredit untuk membuka akaun.

Adakah insurans disediakan?

Ya. BlueSG menawarkan insurans perlindungan bagi anggotanya dengan kadar minimum seperti yang tertakluk di bawah undang-undang.

Di mana kereta patut diletakkan?

Pengguna boleh meletakkan kenderaan di tempat yang dibenarkan bagi kenderaan, tapi di akhir perjalanan kereta itu perlu dikembalikan ke stesen BlueSG untuk dicas semula.

Berapa lama kereta itu boleh digunakan?

Kereta biru ini mempunyai kadar jarak sekitar 200 kilometer.

Kereta tersebut bagi kegunaan dalam negara dan tidak dibenar melepasi pusat pemeriksaan imigresen. Sekiranya kadar casnya merosot di bawah paras 30 peratus, pengguna akan diberitahu agar mengembalikan kenderaan itu ke stesen BlueSG.

Bayaran penggunaan akan diteruskan sehingga kereta itu dikembalikan ke stesennya.

Bolehkah pengguna pandu menggunakan akaun rakannya?

Keanggotaan adalah bagi pengguna individu sahaja dan tidak boleh ditukar ganti. Hanya mereka yang melangganinya boleh memandu kereta biru. Apabila pengguna mendaftar, beliau akan menetapkan kod pengenalan peribadi yang menghalang orang lain daripada mengguunakan kadnya sekiranya hilang atau dicuri.

Bagaimana jika pengguna disaman atau keretanya 'ditunda'?

Sebarang saman yang diberi merupakan tanggungjawab si pengguna. Sekiranya kereta itu ditinggalkan atau ditunda, pengguna akan dikenakan bayaran bagi kos pentadbiran dan pengambilan semula kereta itu.

Waktu Solat

Subuh
5:52
Syuruk
7:14
Zuhur
1:17
Asar
4:40
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
3 HR PSI: 35
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.