Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerjasama dunia penting tangani Covid-19, bangun semula kehidupan

Jan 12, 2021 | 5:30 AM
SEKTOR PENERBANGAN TERJEJAS: Beberapa penumpang kelihatan menyorong beg di Lapangan Terbang Changi. Sektor penerbangan antara yang teruk terjejas dek Covid-19 - Foto fail
SEKTOR PENERBANGAN TERJEJAS: Beberapa penumpang kelihatan menyorong beg di Lapangan Terbang Changi. Sektor penerbangan antara yang teruk terjejas dek Covid-19 - Foto fail -

KERJASAMA antara negara adalah amat penting sedang dunia berusaha untuk menangani Covid-19 dan membangun semula daripada gangguan yang dicetuskan oleh pandemik itu, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat.

Encik Heng mengutarakan tiga bidang kerjasama yang penting - kesihatan awam, perubahan iklim dan tadbir urus digital - dalam ucapannya di Forum Global Outlook The Straits Times semalam.

Beliau memberi contoh Kemudahan Akses Global Vaksin Covid-19 (Covax), di mana negara-negara bekerjasama untuk memastikan vaksin yang dihasilkan dapat dihantar dengan pantas dan selamat, dan diagihkan secara saksama.

Tambahnya, usaha selanjutnya adalah bagi negara-negara menentukan protokol dan standard yang sama bagi perjalanan antarabangsa yang selamat, dan memperkukuh respons kolektif terhadap pandemik masa depan untuk jangka panjang.

Encik Heng berkata kerjasama kesihatan awam juga boleh diperluaskan di luar respons pandemik, seperti dalam inovasi penjagaan kesihatan yang akan mempertingkat daya ketahanan dan keberkesanan sistem penjagaan kesihatan.

"Beberapa masyarakat mempunyai penduduk yang menua, termasuk Singapura.

"Kita boleh bekerjasama dalam penyelidikan dan perkongsian pengalaman, untuk membolehkan warga emas kita kekal sihat dan aktif selama mungkin," kata beliau.

Dalam bidang perubahan iklim, Encik Heng berkata selain usaha sejagat dan huraian pelbagai pihak, kerjasama dalam sains dan teknologi dapat memberi dorongan ke arah pemulihan hijau.

Beliau menambah bahawa inovasi dan teknologi boleh menawarkan huraian untuk mencapai kedua-dua pertumbuhan ekonomi dan kemampanan.

Dengan penggunaan teknologi yang semakin berleluasa dalam kehidupan seharian, terutamanya semasa pandemik ini yang telah mempercepatkan revolusi digital, Encik Heng berkata kerjasama antarabangsa juga adalah penting dalam keselamatan siber.

Beliau turut berkata tadbir urus teknologi yang lebih kukuh diperlukan demi memastikan teknologi maju dalam cara yang adil dan mengikut etika.

Misalnya, Singapura merupakan anggota pengasas Kerjasama Sejagat mengenai Kecerdasan Buatan (AI), sebuah inisiatif antarabangsa yang dimulakan tahun lalu bagi menyokong penggunaan AI yang bertanggungjawab, tadbir urus data dan bagaimana AI boleh digunakan untuk memperkasa pekerja.

Sedang perdagangan digital berkembang, turut diperlukan adalah standard umum bagi membolehkan aliran data boleh dipercayai rentas sempadan, kata Encik Heng.

Menurutnya, usaha kini sedang dijalankan oleh sekumpulan anggota Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) untuk mengemaskini peraturan perdagangan sejagat untuk mempermudahkan perdagangan digital.

Encik Heng berkata dunia kini berada di persimpangan disebabkan Covid-19 dan sekiranya negara-negara tidak bersatu untuk menangani cabaran yang sama, dunia akan menjadi lebih sukar dikawal dan tidak adil.

"Covid-19 telah memberikan kita tujuan yang sama untuk bekerjasama.

"Marilah kita membina momentum kerjasama daripada krisis ini untuk memanfaatkan sepenuhnya masa ini, dan membina asas bagi masa depan yang lebih berdaya tahan, mampan dan bertenaga," kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg