Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-50 HUBUNGAN DUA HALA SINGAPURA-INDONESIA

Kerjasama kukuh lambang keakraban dua negara

Sep 06, 2017 | 05:30 AM



HUBUNGAN Singapura dan Indonesia, seperti lumrah hubungan sesama jiran, mempunyai pasang dan surutnya.



Namun, setiap gelora hubungan antara dua negara itu menghasilkan pemahaman yang lebih mendalam yang semakin berkembang berteraskan rasa saling hormat dan saling memerlukan.



Justeru, dalam Singapura dan Indonesia menyambut ulang tahun hubungan dua hala yang ke-50 esok, persahabatan antara titik merah di Khatulistiwa dan gergasi Asia Tenggara ini kini semakin akrab.



Demikian rumusan penganalisis dan pengamat dari Singapura dan Indonesia yang diwawancara Berita Harian menjelang rahat pemimpin antara Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Presiden Joko Widodo (Jokowi) di sini esok.



Rahat itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Singapura-Indonesia.



Dalam rangka lawatan Presiden Jokowi, beberapa Memorandum Persefahaman (MOU) bagi memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara meliputi bidang ekonomi, pelancongan dan latihan kemahiran bakal dimeterai.



Encik Lee dan Presiden Jokowi juga akan menyaksikan acara terbang lalu bersama oleh Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan Angkatan Udara Indonesia (TNI-AU).



Zamil pelawat kanan Iseas-Institut Yusof Ishak, Profesor Leo Suryadinata, berkata bahawa keakraban hubungan Singapura-Indonesia dapat dilihat menerusi skala hubungan kerjasama kedua-dua negara.



"Dahulu pelaburan Singapura di Indonesia terbatas pada BBK (Batam-Bintan-Karimun), tetapi kini telah meluas sampai ke Semarang (Jawa Tengah).



"November tahun lalu, Encik Lee dan Presiden Jokowi telah sama-sama merasmikan Taman Perusahaan Kendal yang merupakan satu mercu tanda baru hubungan Singapura dan Indonesia," ujarnya, merujuk kepada projek di Semarang, Jawa Tengah, seluas 2,700 hektar, yang telah menarik 30 syarikat dan nilai pelaburan berjumlah $491 juta sejak dirasmikan.



Mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed, pula berkata hubungan akrab Singapura-Indonesia, meskipun dipalit beberapa kejadian hitam sepanjang sejarah termasuk peristiwa Konfrontasi pada 1960-an, adalah hasil kematangan kepimpinan dua negara itu, yang mengamalkan pendekatan terbuka berdasarkan rasa saling hormat.



Ini, menurut Encik Zainul, menjadi mangkin kepada hubungan peribadi yang rapat antara mereka.



"Daripada keakraban persahabatan peribadi antara Presiden Suharto dan Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew, kepada Presiden SBY (Susilo Bambang Yudhoyono) dan Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong hinggalah kepada PM Lee dan Presiden Jokowi, para pemimpin ini memahami apakah nilai-nilai penting yang menstabilkan hubungan - kedaulatan, saling hormat, kerjasama saling menguntungkan dan menjayakan Asean serta hubungan Asean dengan rantau dan dunia," ujarnya.



Hubungan mesra antara pemimpin itu menjadi asas bagi kerjasama ekonomi yang kukuh.



Perdagangan dua hala mencecah $56.1 bilion pada 2016, dengan Indonesia merupakan rakan dagang kelima terbesar Singapura manakala Singapura pula rakan dagang ketiga terbesar Indonesia.



Profesor Suryadinata berkata kelebihan dan kekurangan kedua-dua negara saling melengkapi, sekali gus menjadi 'resipi' bagi kerjasama ekonomi yang saling menguntungkan.



"Singapura kecil wilayahnya dan tidak memiliki sumber alam, tetapi mempunyai tenaga ahli, modal, pengetahuan moden dan teknologi yang kaya, sedangkan Indonesia merupakan negara yang sedang berkembang pesat dan memiliki wilayah yang luas dan sumber alam yang kaya raya, tetapi kekurangan sumber yang dimiliki Singapura.



"Kedua-dua jiran ini memerlukan satu sama lain," ujarnya.



Saling memerlukan itu menjadi asas hubungan, tambah Profesor Suryadinata.



"Saling menguntungkan merupakan dasar kerjasama. Dalam bidang ekonomi, dapat dilihat ia saling menguntungkan.



"Dasar ini perlu dipegang teguh untuk mempertahan hubungan baik kedua-dua negara. Pemerintah Encik Lee dan pemerintah Presiden Jokowi sedar perkara ini dan tampak terus berusaha keras memperkuat hubungan," katanya lagi.



Menyetujui pandangan itu, Zamil Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Mustafa Izzuddin, berkata bahawa Singapura penting bagi agenda pembangunan ekonomi Presiden Jokowi kerana kedudukan Kota Singa ini sebagai antara pelabur asing terbesar di negara itu.



"Diplomasi ekonomi Indonesia dalam dasar luar negara di bawah Presiden Jokowi, dan dasar terbuka Singapura dalam dagangan luar negara menggambarkan kedua-dua negara akan meraih manfaat daripada kerjasama ekonomi yang kukuh," ujarnya.



Encik Zainul pula berkata hubungan ekonomi akan terus menjadi teras hubungan Singapura-Indonesia.



"Sama ada dalam pembangunan taman industri di Batam atau terkini, projek di Kendal, Indonesia dan Singapura memahami dan menghargai hubungan ini. Presiden Jokowi ialah pemimpin pragmatik dan akan terus mendorong kerjasama ekonomi yang bermanfaat bagi kedua-dua negara," ujar beliau.



Hubungan Singapura-Indonesia yang kukuh juga penting, melebihi kepentingan dua negara tersebut dan mempunyai kesan kepada perpaduan Asean.



Encik Zainul menerangkan bahawa sebagai negara terbesar di Asean, Indonesia memainkan peranan penting sebagai penggerak hubungan dan perkembangan serantau.



Dr Mustafa berkata: "Hubungan tiga segi anggota pengasas Asean - Indonesia, Malaysia dan Singapura - adalah pelekat yang menyepadukan pertubuhan serantau itu. Lebih kukuh hubungan dua hala antara tiga negara, termasuk Singapura dan Indonesia, lebih bersepadu Asean," ujar beliau.




"Saling menguntungkan merupakan dasar kerjasama Singapura-Indonesia. Dalam bidang ekonomi, dapat dilihat ia saling menguntungkan. Dasar (saling menguntungkan) ini perlu dipegang teguh untuk mempertahan hubungan baik kedua-dua negara. Pemerintah Encik Lee dan pemerintah Presiden Jokowi sedar perkara ini dan tampak terus berusaha keras memperkuat hubungan."
- Profesor Leo Suryadinata, zamil pelawat kanan Iseas-Institut Yusof Ishak.



"Cabaran yang timbul daripada sejarah dan persaingan antara kedua-dua negara akan berlaku dari masa ke masa, contohnya dalam isu menamakan kapal tentera laut Indonesia sebagai menghormati dua askar Indonesia yang dihukum mati kerana mengebom MacDonald House. Namun, selagi Singapura dan Indonesia melihat kepada asas hubungan baik yang lebih luas dan penting, dan mengambil berat hubungan sesama jiran yang baik di Asean, saya yakin hubungan ini akan terus berkembang dan bertambah akrab."
- Encik Zainul Abidin Rasheed, mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar).



"Asas hubungan Singapura-Indonesia secara tradisinya adalah kukuh dan berdasarkan prinsip selain mempunyai dimensi yang pelbagai serta didorong kepentingan bersama. Meskipun hubungan Singapura-Indonesia mengalami ketegangan dari masa ke masa, hubungan dua hala ini jelas utuh dan berdaya tahan selama 50 tahun, dan nampaknya ia akan kekal utuh pada masa depan."
- Dr Mustafa Izzuddin, zamil Iseas-Institut Yusof Ishak.



Laporan lain: HUBUNGAN DUA HALA SG-INDONESIA




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >