Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kes kereta sewa terbakar di Cassia Crescent: Kereta dikatakan kerap diservis

Jan 10, 2022 | 05:30 AM



KERETA sewa yang terbakar selepas pelanggaran di sebuah tempat letak kereta Jumaat lalu hingga mengorbankan pemandunya telah disenggara dengan kerap dan belum tiba masa untuk diservis.



Demikian dinyatakan pengurus operasi syarikat sewa kereta itu yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Ong ketika dihubungi Berita Harian.



"Tiada masalah dengan kereta itu. Saya telah periksa rekod servis dan jarak perjalanan. Belum tiba masa untuk diservis kerana masih ada jarak perjalanan 3,000 kilometer," katanya yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik diberitahu polis yang keretanya terlibat dalam kemalangan itu.



Kejadian tersebut berlaku di tempat letak kereta terbuka di Blok 42 Cassia Crescent, bersebelahan Pos Polis Geylang, sekitar 3 petang.



Akhbar The Straits Times melaporkan seorang penduduk blok itu berkata kereta tersebut telah melanggar sebuah kereta yang diletakkan di situ.



Bonet kereta itu remuk dan ruang dalam kereta itu penuh dengan asap. Ada pergerakan didengar dalam kereta itu.



Satu letupan kemudian kedengaran dan kereta itu dijilat api.



Seorang pegawai polis dikatakan cuba menarik keluar pemandu kereta itu tetapi tidak berjaya.



Kebakaran itu berlangsung selama 15 hingga 20 minit sebelum pegawai bomba tiba. Kebakaran itu dipadamkan sekitar 3.40 petang.



Pemandu tersebut disahkan mati di tempat kejadian oleh paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).



Memandangkan tubuh pemandu itu rentung, ujian DNA mungkin diperlukan untuk mengesahkan identiti mangsa.



Menurut akhbar Lianhe Zaobao, Encik Ong telah mengesahkan bahawa kereta itu disewa oleh seorang lelaki berusia 34 tahun yang dikenali sebagai Encik Suhaimi.



Encik Ong berkata, kereta itu disewa sejak Mac tahun lalu, dan buat tiga bulan pertama, digunakan sebagai kenderaan sewa privet (PHV).



Kemudian kereta itu dipandu untuk kegunaan peribadi, katanya.



Encik Ong menambah, selepas kemalangan tersebut, seseorang yang tidak dikenali telah meninggalkan mesej di laman web syarikat itu, menyalahkan masalah penyenggaraan kereta itu sebagai punca kebakaran tersebut.



Beliau menerangkan, Encik Suhaimi telah memandu sejumlah 37,000 kilometer dalam tempoh 10 bulan menyewa kenderaan itu, dan kereta itu disenggara setiap 10,000 kilometer jarak perjalanan.



"Encik Suhaimi mula bekerja sebagai pereka dalaman tahun lalu dan kurang memandu, jadi beliau mempunyai 3,000 kilometer jarak perjalanan sebelum penyenggaraan seterusnya," katanya, sambil menambah penyewa itu tahu tentang penyenggaraan kereta dan sering meminta bahagian kereta digantikan.



Penyenggaraan terakhir dilakukan September tahun lalu.



Encik Ong juga berkata, selepas kemalangan itu berlaku, beliau melihat video kebakaran itu berulang kali dan menunjukkan video itu kepada peniaga kereta.



"Kebakaran kenderaan biasanya bermula dari depan atau belakang kereta, tetapi kali ini kebakaran itu nampak seperti bermula dari tempat duduk pemandu. Saya berharap pihak berkuasa dapat segera menyiasat, lebih-lebih lagi ia melibatkan nyawa manusia," katanya.



Akhbar Lianhe Zaobao dalam laporannya berkata, menurut sumber yang dipercayai, kereta itu telah diletakkan di lot letak kereta tersebut pada hari kejadian, tetapi dari 1.28 petang, enjin kereta itu didapati dihidupkan dan dimatikan dalam lot kereta itu sekurang-kurangnya tiga kali.



Enjin kereta itu dihidupkan antara 10 minit dengan 30 minit setiap kali.



Siasatan polis sedang diteruskan dan berdasarkan siasatan awal, polis tidak mengesyaki perbuatan khianat.



Ahli keluarga Encik Suhaimi yang ditemui Berita Harian semalam enggan mengulas.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >