Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SIRI 'BINCANG BH': PERBINCANGAN MEJA BUNDAR BERSAMA ENCIK SAKTIANDI SUPAAT

Kesan teknologi disruptif ke atas pekerja dan perniagaan

May 29, 2016 | 05:30 AM



SOALAN: Apakah cabaran ekonomi hari ini dalam melangkah ke fasa baru?



Encik Saktiandi Supaat: Pertumbuhan ekonomi Singapura buat masa sekarang adalah antara 1 dengan 3 peratus.



Kita telah lihat banyak teknologi disruptif, atau teknologi yang mengubah pasaran dan gaya hidup, yang memberi cabaran agak besar kepada industri tertentu di dunia dan Singapura.



Buat masa akan datang, penting bagi Singapura mempertingkatkan pertama sekali, produktiviti. Dari segi struktur ekonomi kita, amat penting bagi kita mempertingkatkan tunggak ekonomi Singapura.



Adakah industri baru boleh diperkenalkan ke dalam ekonomi Singapura? Bagaimanakah pekerja kita boleh menangani cabaran ini dan menerapkan teknologi disruptif ini agar ekonomi Singapura terus maju?



Kita perlu juga tahu bahawa teknologi disruptif yang kita lihat sekarang mungkin akan luput. Kita mungkin melihat teknologi disruptif baru pada lima atau 10 tahun akan datang.



SOALAN: Bagaimanakah teknologi disruptif boleh menjejas pekerja?



Encik Azmoon Ahmad: Setiap teknologi yang digunakan untuk perniagaan akan bertambah lagi pesat.



Dari dulu sudah ada perubahan struktur tetapi kadar kelajuan perubahan tidak begitu cepat seperti sekarang.



Dulu, sekiranya sesebuah perniagaan itu ingin menyebarkan maklumat kepada 10 juta pelanggan, boleh jadi ia akan mengambil masa dalam 10 tahun atau lima tahun ke atas.



Tetapi sekarang, bagi mendekati 10 juta pelanggan, dalam seminggu sahaja sudah boleh kerana ada Internet.



Kita harus bersiap sedia bagi masa depan ini. Teknologi disruptif akan kekal bersama kita. Kita harus menerimanya.



Encik Suhaimi Salleh: Dulu, kadar pembangunan mungkin agak lambat tetapi kalau kita lihat beberapa tahun lalu, dengan kadar perubahan yang berlaku pun, pekerja kita agak lambat berkecimpung dalam bidang latihan yang sesuai dengan perubahan ekonomi.



Saya khuatir dengan kadar perubahan yang berlaku dalam ekonomi sekarang, pekerja kita mungkin tidak dapat sama-sama meraih faedah dalam ekonomi yang sentiasa berubah-ubah ini.



Dengan perubahan ekonomi, kita sudah dapat lihat tidak begitu ramai anggota pekerja bergaji rendah kita yang menyertai latihan.



Tetapi dalam golongan karyawan ataupun PMET, kita dapat lihat ramai daripada mereka menyertai latihan yang bersesuaian dengan pekerjaan mereka dan mengambil peluang daripada SkillsFuture.



SOALAN: Apakah pula kesan teknologi disruptif ke atas perniagaan?



Encik Zahidi Abdul Rahman: Daripada pengalaman sejak dua tahun lalu, kami lihat penggunaan media sosial amat ketara sekali dalam kalangan peniaga Melayu.



Antara faktor daya tolaknya adalah tingginya harga sewa dan perlunya menggajikan orang serta pekerja berkurangan.



Pelanggan mereka datang dari media sosial. E-dagang mainkan peranan penting. Ia bukan hanya dapat pelanggan Singapura, malah pelanggan dari Indonesia, Malaysia dan negara lain.



Cabarannya, setelah mereka membuka kedai di Internet, e-dagang, ialah masalah keselamatan. Ada yang kedainya 'hangus' kerana digodam orang.



Itu satu masalah yang anggota Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) sedang perhatikan supaya walaupun mereka ada di media sosial, ia harus dapat bertahan.



SOALAN: Apakah peluang baru untuk direbut usahawan bidang teknologi seperti anda?



Encik Shamir Abdul Rahim: Sebagai usahawan syarikat baru, memang ia membuka banyak peluang.



Sebahagian daripada agenda Negara Bijak, beberapa teknologi dan prasarana telekomunikasi perlu dibina.



Ia juga membuka peluang dari segi 'Big Data', atau Data Besar. Contohnya, kami boleh gabungkan data dari segi geolokasi, sensor dan kegiatan bagi menghasilkan sesuatu aplikasi baru.



Disebabkan teknologi yang amat disruptif dan berubah-ubah, seseorang yang mempunyai latihan formal tidak semestinya mempunyai kelebihan ke atas seseorang yang tidak mempunyai latihan formal.




"Setiap segmen masyarakat perlu memahami kesan strategi yang akan dibentangkan Jawatankuasa Ekonomi Masa Depan kelak supaya dapat menerapkannya dalam keadaan masing-masing. Kita membincangkan tentang mempertingkatkan pengetahuan kita mengenai keadaan dunia hari ini, namun kita juga perlu memahami bagaimana ia menjejas kita."



- Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, yang juga anggota Jawatankuasa Ekonomi Masa Depan (CFE).



"Bagi saya, daya ketahanan adalah apabila kita berhadapan dengan keadaan, kita akan meneroka huraian dan kemudian melakukannya langkah demi langkah.



Itu saranan saya kepada pekerja masa depan kerana perubahan akan datang dan ia akan berlaku dengan lebih laju."



-  Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Azmoon Ahmad, yang juga Naib Presiden Kanan dan Anggota Pengurusan Eksekutif Desay SV Automotive.



"Masyarakat harus ada keinginan terus menimba ilmu dan peka akan apa yang berlaku di sekeliling mereka.



Kita perlu mempunyai kebolehan untuk berubah apabila ekonomi berubah."



- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSA Consulting Group, Encik Suhaimi Salleh.



"Masyarakat perlu memanfaatkan dasar kekuatan dan menggunakan daya cipta dan bakat seni untuk membuat sesuatu yang baru.



Sama ada nak buat nasi lemak yang bagus ataupun nak buat cara khidmat penghantaran yang berlainan ataupun membuat seni yang baik. Asalkan menggunakan bakat seni sedia ada bagi mencipta masa depan kita sendiri."



- Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Zahidi Abdul Rahman.



"Jika ada sesuatu ciri yang perlu dihayati masyarakat, ciri itu ialah sikap ingin tahu secara intelek, atau intellectual curiosity.



Pengetahuan kita tidak boleh cetek sahaja. Kita perlu teliti dengan mendalam. Lebih mendalam pengetahuan kita, kita lebih bernilai sebagai seorang karyawan."



- Pengasas dan ketua pegawai eksekutif (CEO) VersaFleet, Encik Shamir Abdul Rahim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >