Ketua baru bagi ITE mulai 2017

INSTITUT Pendidikan Teknikal (ITE) akan mempunyai ketua baru tahun depan (2017).

Pengarah semasa merangkap ketua eksekutif Bruce Poh Geok Huat akan bersara pada 2 Februari 2017 selepas 35 tahun berkhidmat dalam sektor awam, umum ITE dalam satu kenyataan pada Khamis (1 Dis).

Beliau, 61 tahun, akan digantikan oleh Cik Low Khah Gek, yang kini Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sekolah) dan Pengarah Sekolah di Kementerian Pendidikan (MOE).

Cik Low, yang menyertai perkhidmatan pendidikan pada 1984, telah memegang beberapa jawatan kanan, dan melaksana inisiatif seperti pembangunan Program Pembelajaran Gunaan dan Program Pembelajaran bagi Kehidupan di sekolah, dan memadankan rakan industri dan masyarakat untuk menyokong sekolah.

Bekas pengetua Sekolah Menengah Anderson dan Maktab Rendah Victoria itu turut menyelia pelaksanaan banding berasaskan mata pelajaran, yang membolehkan fleksibiliti bagi pelajar mengambil mata pelajaran pada peringkat berbeza mengikut kekuatan mereka.

Dalam jawatan sebelum ini sebagai pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum MOE, Cik Low mengetuai kajian semula kurikulum di peringkat sekolah rendah, menengah dan prauniversiti.

Beliau juga terlibat secara langsung dalam reka bentuk kurikulum Sekolah Menengah Crest, sekolah khusus pertama bagi pelajar (Teknikal) Normal.

Encik Poh memulakan kerjaya sebagai seorang jurutera di Hewlett-Packard sebelum menyertai Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada 1981. Beliau membantu menubuhkan Politeknik Nanyang pada 1992 dan merupakan timbalan pengetua sebelum memegang jawatan sekarang di ITE pada Februari 2007.

Dalam tempoh 10 tahun lalu, Encik Poh memperluas pelbagai peluang dan program untuk pelajar ITE dengan mengukuhkan kaitan institut itu dengan industri dan rakan di luar negara.

Beliau menyelia pembangunan dua daripada tiga kampus Kolej ITE - ITE Kolej West dan ITE Kolej Central, yang masing-masing siap pada 2010 dan 2012.

Di bawah kepimpinan beliau, ketiga-tiga kolej mempunyai kemudahan pembelajaran moden yang menyerupai persekitaran kerja untuk menyediakan pengalaman pembelajaran autentik bagi pelajar.

Dalam kenyataan itu, pengerusi ITE, Encik Bob Tan, mengucapkan terima kasih kepada Encik Poh di atas kepimpinan dan sumbangan beliau "meningkatkan sistem kerjaya dan pendidikan teknikal Singapura, meningkatkan kejayaan dan nilai pelajar dan lulusan ITE, dan meningkatkan mutu dan profil ITE di dalam dan luar negara".

Encik Tan juga berkata Lembaga Gabenor ITE mengalu-alukan kedatangan Cik Low.

Menteri Pendidikan (Pengajian Tinggi dan Kemahiran), Encik Ong Ye Kung, turut melahirkan penghargaan kepada Encik Poh dan mengalu-alukan Cik Low.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 27
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 2,956.130 -2.730