Ketua penyelam Underwater World di Sentosa maut disengat ikan pari

SEORANG lelaki maut selepas disengat ikan pari di Underwater World Singapore (UWS) di Sentosa, yang telah ditutup sejak Jun, pada Selasa (4 Okt).

Ia dipercayai kejadian sedemikian pertama di Singapura.

Mangsa ialah Encik Philip Chan, ketua pasukan penyelam di UWS. Ucapan bagi beliau, yang juga penyelia kanan jabatan kurator UWS , mula muncul di Facebook pada petang Selasa.

Akhbar The New Paper melaporkan UWS sedang dalam proses memindahkan haiwan marin pada masa itu, dan Encik Chan, yang berumur awal 60-an tahun, sedang menguruskan ikan pari apabila tragedi melanda.

Polis berkata mereka dimaklumkan pada 2.20 petang mengenai seorang lelaki cedera di UWS.

Jurucakap polis berkata beliau dihantar ke Hospital Besar Singapura (SGH) tetapi meninggal dunia akibat kecederaannya.

Polis sedang menyiasat kematian luar biasa itu.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia menghantar ambulans ke tempat kejadian, dan mangsa tidak sedarkan diri ketika dibawa ke SGH.

Encik Chan telah bekerja di UWS selama 25 tahun. Beliau biasanya memakai peralatan skuba dan berada di dalam air untuk meletak makanan dalam mulut ikan pari dan jerung semasa waktu makan sementara pelawat memerhatikan dan mengambil gambar.

Seorang pakar ikan, Dr Tan Hui Heok, 45 tahun, berkata ikan pari dalam kurungan boleh berasa diprovok dan cuba bertindak balas dengan menyengat apabila mereka menghadapi keadaan tertekan, misalnya dipindahkan dari tangki mereka.

Haiwan bukan menyebabkan kesakitan fizikal sahaja, bahkan toksin dalam tulang belakangnya boleh menyebabkan ketidakselesaan teruk.

Apabila tulang belakangnya menembusi daging manusia, ia pecah dan melepaskan racun.

Sama ada sengat ikan pari membawa maut atau tidak bergantung di mana ia menyengat, kata Dr Tan, seorang pegawai operasi di Muzium Sejarah Semula Jadi Lee Kong Chian.

"Jika mangsa disengat pada organ penting, seperti kawasan dada, ia boleh mencetuskan serangan jantung, yang kemudiannya boleh menyebabkan kematian," ujarnya.

Kes kematian manusia akibat ikan pari yang paling popular melibatkan personaliti televisyen Australia, Steve Irwin, yang disengat pada hati semasa berenang berhampiran seekor ikan pari pada 2006.

Terdapat lebih sedozen spesies ikan pari di perairan Singapura, termasuk ikan pari biru belang, ikan pari whiptail dan ikan pari Gerrard.

Tidak diketahui spesies yang terlibat dalam serangan di UWS itu.

Dimiliki Haw Par Corporation, UWS dibuka pada 1991 dan menutup pintunya pada 27 Jun.

Waktu Solat

Subuh
5:50
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:14
Isyak
8:23
3 HR PSI: 64
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 3,184.570 +26.750