Ketua polis paling lama berkhidmat, Goh Yong Hong, meninggal dunia

KETUA polis yang telah berkhidmat paling lama di negara ini, Encik Goh Yong Hong, meninggal dunia pada usia 76 tahun Jumaat lalu.

Encik Goh yang memperkenalkan sistem polis masyarakat di sini meninggal dunia di Hospital Besar Singapura selepas dimasukkan ke hospital dua minggu lalu.

Beliau telah mengetuai pasukan polis dari 1979 hingga 1992.

Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean yang mengutus kawat takziah atas pemergian Encik Goh berkata:

"Semasa beliau berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Polis, beliau memperkenalkan konsep polis masyarakat.

"Saya juga kenal dia semasa beliau berkhidmat sebagai naib presiden Majlis Olimpik Nasional Singapura (SNOC). Beliau mempunyai minat yang mendalam kepada sukan."

Dalam satu kenyataan, Pasukan Polis Singapura berkata Encik Goh memperkenalkan Skim Pengawasan Kejiranan dan membentuk Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan, kedua-duanya pada 1981, serta menubuhkan pondok polis kejiranan pada 1983.

Daya usaha itu menandakan anjakan daripada cara reaktif yang berdasarkan siasatan kepada pendekatan lebih proaktif yang menekankan pencegahan dan kerjasama masyarakat, kata polis menerusi kenyataan itu.

"Beliau merupakan pemimpin contoh yang telah membina asas kukuh dari segi profesionalisme dan kepercayaan masyarakat bagi polis," kata Pesuruhjaya Polis, Encik Hoong Wee Teck.

Encik Goh meninggalkan seorang balu, Cik Teresa, 77 tahun, serta anaknya, France, 50 tahun; Dawn, 48 tahun; dan Gerard, 42 tahun; serta lapan cucu.

Satu upacara pengebumian privet akan diadakan Selasa.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 29
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.