Ketua SMRT: Kami akan tingkat mutu perkhidmatan

SYARIKAT pengangkutan awam, SMRT akan terus melakukan "segala yang mampu" bagi meningkatkan mutu perkhidmatan rangkaian kereta apinya, kata ketua eksekutif Desmond Kuek.

Kenyataan beliau itu diluahkan menyusuli tiga gangguan yang berlaku bulan lalu - menyebabkan Menteri Pengangkutan, Encik Lui Tuck Yew, melahirkan kekecewaannya terhadap SMRT.

Dalam wawancaranya bersama akhbar The Straits Times yang disiarkan hari ini, Encik Kuek berkata, SMRT telah melaburkan "banyak sumber" bagi meningkatkan kebolehpercayaan terhadap perkhidmatan rel bagi laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat yang telah beroperasi sejak lama.

Ia kini sedang memperelok semua sistem utama ke atas kereta api-kereta api lama.

Sebagai contoh, ia telah menggantikan unit bekalan tenaga ke atas kereta api generasi pertama dan meningkatkan perisian bagi kereta api generasi ketiga demi mengurangkan kerosakan pendorongan, yang membentuk hampir sepertiga kereta api yang ditarik keluar daripada perkhidmatan antara 2011 dan 2012.

Masalah pengisyaratan komunikasi, yang merupakan satu lagi punca penarikan keluar sesebuah kereta api sejak tiga tahun lalu, juga sedang ditangani.

Eksekutif Naib Presiden SMRT Trains, Encik Lee Ling Wee, berkata syarikatnya kini sedang menggantikan semua peralatan pengisyaratan lama dalam kereta api terlebih dahulu, meskipun ia perlu digantikan sekali lagi pada 2018 apabila sistem pengisyaratan yang baru dilaksanakan.

Selain membuat pelaburan bagi peralatan yang lebih baik, termasuk sistem penderia yang baru bagi mengesan kerosakan atau kelemahan dalam pembekalan tenaga bagi rel ketiga, SMRT akan juga mempertingkatkan sumber tenaga teknikal dengan pengambilan kira-kira 100 hingga 200 jurutera dalam beberapa tahun ini, bagi melengkapi lebih 100 yang ada sekarang.

Lebih ramai teknisyen juga akan diambil bekerja oleh syarikat itu.

Kerja-kerja peningkatan ke atas laluan lama akan menjejas pengguna, namun, SMRT bercadang menutup dua laluan lebih awal pada sebelah malam pada hari-hari tertentu mulai April agar jurutera mereka punya lebih banyak masa untuk bekerja.

Penutupan pada hujung minggu juga merupakan satu kemungkinan.

Perubahan-perubahan ini, kata Encik Kuek, adalah sejajar dengan pendekatan "kerosakan sifar" SMRT terhadap operasinya.

"Setiap kelewatan atau gangguan disiasat, dan kami akan lakukan ini bagi mencari punca setiap kejadian agar kami dapat mengambil iktibar demi mengelak masalah sama berulang," kata mantan panglima angkatan bersenjata Singapura itu.

Program pembaharuan - yang dibiayai bersama oleh Pemerintah - dijangka tidak mencapai kos $900 juta, sebagaimana yang ditaksirkan lebih awal.

Langkah-langkah yang telah dilaksanakan telah membantu mengurangkan kes-kes penundaan kereta api secara keseluruhannya. Terdapat 302 insiden yang menyebabkan penundaan melebihi lima minit pada kedua-dua laluan ini pada 2011, dan 277 pada 2012.

Ini bagaimanapun merosot kepada 229 tahun lalu.

Jumlah kereta api yang ditarik keluar daripada perkhidmatan disebabkan kerosakan teknikal juga merosot sebanyak 32 peratus.

SMRT juga membuat perbandingan dengan perkhidmatan kereta api di negara-negara lain dari segi perkhidmatan yang tertunda.

Pada 2012, ia menduduki tangga ke-10 daripada 29 pengendali perkhidmatan kereta api gerak cepat dalam kumpulan CoMET Nova, yang turut merangkumi pengendali seperti Hong Kong MTR dan London Underground.

Waktu Solat

Subuh
5:52
Syuruk
7:14
Zuhur
1:17
Asar
4:40
Maghrib
7:18
Isyak
8:31
3 HR PSI: 72
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.