Ketua Tesla Motors telefon PM Lee mengenai surcaj karbon

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Motors, Encik Elon Musk, telah menghubungi Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengenai kereta elektrik Model S syarikat itu dikenakan surcaj karbon $15,000 di Singapura.

Dalam tweet pada Jumaat (4 Mac) lalu, Encik Musk berkata beliau telah bercakap dengan Encik Lee, dan "beliau berkata beliau akan menyiasat keadaan".

Jurucakap Pejabat Perdana Menteri (PMO- mengesahkan pada Isnin (7 Mac) bahawa perbualan itu berlaku, dan berkata, pelbagai agensi sedang melihat perkara tersebut, laporkan akhbar The Straits Times pada Selasa.

Beliau berkata terlalu awal untuk menyatakan apa perkembangan perkara itu.

Semasa lawatan beliau ke Amerika Syarikat awal bulan lalu, Encik Lee bertemu sekumpulan ketua teknologi terkemuka, termasuk Encik Musk.

Encik Lee menulis dalam laman Facebooknya: "Kami berbincang mengenai teknologi baru dan trend global, dan idea-idea Negara Bijak Singapura. Elon Musk membawa saya naik dalam perjalanan pendek tetapi menyeronokkan dalam kereta Model S P90D Tesla."

P90D ialah versi prestasi tinggi kereta elektrik Model S, dan serupa kereta yang dikenakan surcaj $15,000 oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), berdasarkan prestasinya dalam ujian pelepasan karbon.

Ia kereta elektrik pertama di sini dikenakan cukai tambahan itu.

Pelbagai kereta elektrik atau separuh elektrik lain di sini diberi rebat cukai hingga $30,000.

Beberapa negara lain juga menganggap Model S Tesla mesra alam, dan memberi pembelinya pelbagai bentuk pengecualian cukai.

Pemilik kereta itu di sini, Encik Joe Nguyen, telah menyiarkan dalam talian mengenai surcaj karbon itu, dan juga tempoh lama - tujuh bulan - yahg diambil untuk kenderaan itu diluluskan dan didaftar di Singapura.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 19
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.