LEMBAGA Perumahan dan Pembangunan (HDB) perlu diberi kuasa untuk memasuki flat supaya kerja pembaikan boleh disempurnakan dengan lebih cepat lagi, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Khaw Boon Wan.
Menulis dalam blog-nya, Encik Khaw berkata HDB perlu bersikap adil kepada penduduk yang kehidupan mereka terjejas ekoran perbuatan sesetengah jiran yang enggan bekerjasama.
"Secara minimum, HDB seharusnya diberikan kuasa untuk memasuki flat untuk tujuan menjalankan siasatan yang diperlukan dan melakukan kerja pembaikan. Kita perlu meminda undang-undang untuk memperkasa HDB berbuat demikian," ujar beliau dalam tulisannya itu.