Khaw perjelas sebab retak halus pada gerabak tidak diumum

RETAK halus pada 26 kereta api MRT yang dipasang di China tidak menimbulkan risiko keselamatan, oleh itu isu tersebut tidak didedah kepada umum apabila ia ditemui ditemui tiga tahun lalu, kata Menteri Pengangkutan, Encik Khaw Boon Wan, pada Selasa (12 Jul).

Walaupun kerosakan itu memerlukan kereta api tersebut dihantar balik secara beransur-ansur ke pengilangnya di Qingdao untuk badannya ditukar, ia juga tidak memberi kesan kepada keupayaan Laluan Utara-Selatan Timur-Barat (NSEWL), kata beliau.

"Dua isu itu, yang akan mempunyai kesan ke atas rakyat Singapura dan penumpang, tidak dikompromi sama sekali," kata Encik Khaw, menjelaskan sebab Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) menganggap proses pembetulan itu "perkara rutin".

Satu taklimat media diadakan di depot SMRT Bishan untuk, sebagaimana dinyatakan Encik Khaw sendiri, "pengumuman penuh isu itu" dan membetulkan sembarang maklumat salah.

Isu kereta api itu didedahkan oleh sebuah portal berita dalam talian Hong Kong, FactWire, hanya minggu lepas, sekali gus menimbulkan soalan mengapa ia tidak didedahkan kepada umum sebelum ini.

Setakat ini, lima daripada 26 kereta api itu - dibeli dari Kawasaki-Sifang, sebuah konsortium Jepun-Cina - telah diperbetul, dan satu lagi kini berada di China menjalani pembetulan.

Retak halus itu ditemui semasa pemeriksaan rutin pada Julai 2013, selepas kereta api tersebut beroperasi lebih dua tahun. Ia ditemui pada permukaan penyokong badan kereta api, iaitu struktur aloi aluminium di bawah gerabak.

Encik Khaw bertanya: "Sekiranya anda mengumumkan kepada orang awam sesuatu yang bukan besar, tidakkah anda terlalu menyebabkan panik yang tidak perlu dalam kalangan rakyat?

"Dengan pengalaman ini, pelajaran yang boleh dipelajari ialah suatu perkara yang seolah-olah rutin apabila berada di tangan nakal, boleh tersalah putar menjadi tengkarah."

Encik Khaw berkata adalah mudah untuk mempersoal keputusan MOT dan LTA itu sekarang.

"Apabila anda berada dalam keadaan itu pada masa itu... anda perlu timbangkan keburukan membesar-besarkan sesuatu yang kecil, apabila ia bukan satu perkara serius... Saya boleh faham mengapa LTA dan MOT melakukan apa yang mereka lakukan ketika itu."

Walaupun kereta api itu sedang dihantar balik ke China satu demi satu - setiap satu memerlukan masa empat bulan untuk menjalani pembaikan - ia tetapi tidak menjejas rancangan LTA untuk menambah lebih banyak kereta api dan meningkatkan keupayaan NSEWL, kata Encik Khaw.

Ini kerana terdapat kereta api "penimbal", ujar beliau, yang bererti 124 daripada 140 kereta api yang kini terdapat dalam rangkaian itu mencukupi bagi memenuhi permintaan penumpang.

Penimbal sama akan dikekalkan hingga 2019, walaupun setelah lebih banyak lagi kereta api ditambah dan apabila LTA menjangka semua 26 gerabak rosak itu telah diperbetul.

Mulai tahun depan, dua gerabak akan dihantar kembali setiap kali, bukan satu.

Berdasarkan siasatan, retak itu berlaku kerana kelemahan dalam proses pembuatan menyebabkan kekotoran termasuk dalam bahan aluminium.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 50
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.