SEKITAR RAMADAN

Kiraan pertama kutipan TAA berkurang

Kemerosotan berikutan kurang jumlah kotak derma diletakkan di pasar Geylang Serai

DALAM pengiraan Tabung Amal Aidilfitri (TAA) yang pertama semalam, jumlah yang dikutip berkurangan sedikit berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Tahun lalu semasa pengiraan pertama, TAA berjaya meraih sekitar $48,000.

Tetapi tahun ini, jumlah yang dikutip daripada lima kotak derma - satu di pasar Geylang Serai, satu dari Tanjong Katong Complex dan tiga dari Joo Chiat Complex - hanya mencapai $37,700.

Kumpulan motor Riders Aid semasa satu acara amal kelmarin juga menyumbang $4,700 kepada TAA. Ini bermakna jumlah keseluruhan yang diterima TAA dalam pengiraan pertama ini ialah $42,400, iaitu pengurangan sebanyak $5,600.

Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Muhd Harmizan Abdul Hamid, berkata kemungkinan besar kemerosotan itu ekoran kurangnya jumlah kotak derma yang diletakkan di pasar Geylang Serai.

Tahun lalu, TAA dibenarkan meletakkan sehingga empat kotak derma - dua kotak derma di tingkat dua berdekatan dengan gerai menjual baju dan makanan, satu di pintu masuk pasar Geylang berdekatan dengan tempat menunggu teksi dan satu lagi di hadapan kedai Teh Tarik - dekat pasar Geylang.

Namun tahun ini, TAA hanya dapat meletak satu kotak derma sahaja iaitu di hadapan kedai Mr Teh Tarik dekat pasar Geylang.

Ini, menurut TAA, menyusuli garis panduan baru Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), bahawa setiap persatuan Melayu/Islam hanya boleh meletakkan satu kotak derma sahaja di pasar Geylang Serai.

Buat masa ini, ada tiga kotak derma di pasar Geylang Serai; TAA, Persatuan Ain dan Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Kampong Ubi.

Bagaimanapun apabila ditemui di sesi pengiraan pertama kotak derma di pejabat TAA dekat Tanjong Katong Complex, Encik Muhd Harmizan melahirkan rasa yakinnya bahawa masyarakat akan tetap tampil ke memberi sumbangan bagi membantu mereka yang memerlukan.

"Kutipan minggu pertama dalam bulan Ramadan ini mungkin agak kurang kerana masyarakat masih lagi baru menyesuaikan diri dalam bulan Ramadan.

"Insya-Allah dalam hari-hari akan datang, lebih ramai akan tampil bersedekah," ujarnya positif.

Bagi mengatasi isu kekurangan kotak derma di pasar Geylang Serai, Encik Muhd Harmizan memberitahu bahawa TAA telah menambah jumlah kotak derma di Little India, daripada satu kotak derma tahun lalu kepada empat tahun ini.

"Tambahan itu, hujung minggu ini, acara Celebfest, anjuran RoseValley, telah memilih TAA sebagai badan amal angkatnya.

"Jadi kami berharap dengan cara ini, kami akan tetap dapat mencapai sasaran $800,000 yang ditetapkan, iaitu sasaran yang sama seperti tahun lalu," katanya lagi.

Secara keseluruhan, TAA mempunyai 14 kotak derma di sekitar Geylang termasuk di kawasan bazar, tempat makan Al-Wahdi, pusat beli-belah City Plaza dan One KM.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 29
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.