KLINIK jantung khas untuk kaum wanita telah dilancarkan oleh Pusat Jantung Nasional Singapura (NHCS) hari ini, Rabu.
Klinik tersebut bertujuan untuk menawarkan perkhidmatan yang diperuntukkan bagi keperluan wanita, termasuk pencegahan, teknik diagnosis, rawatan, dan pemulihan.
Klinik tersebut dilancar bagi mengatasi peningkatan bilangan kematian akibat penyakit jantung di Singapura.
Menurut NHCS, penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu wanita di Singapura dan juga di peringkat global di mana satu dalam tiga wanita mati disebabkan penyakit jantung.
Klinik tersebut akan menggunakan pendekatan tiga serampang dengan menumpukan kepada penjagaan pesakit, melengkapkan doktor dengan latihan yang diperlukan dan juga mendorong lebih banyak kajian dari segi sakit jantung di kalangan kaum wanita.