Korban nahas MRT warga Singapura, sedang jalani latihan semasa kerja

DUA kakitangan penyelenggaraan SMRT terbunuh dalam satu kemalangan di landasan kereta api berhampiran stesen MRT Pasir Ris pada pagi Selasa (22 Mac), dan perkhidmatan kereta api di Laluan Timur-Barat antara stesen Pasir Ris dan Tanah Merah digantung buat sementara waktu.

Mereka ialah Allahyarham  Nasruddin Najumudeen, 26 tahun, dan Muhammad Asyraf Ahmad Buhari, 24 tahun.
Kededua warga Singapura itu sedang  menjalani latihan sambil bekerja semasa kemalangan tersebut, kata  Encik Patrick Nathan, naib presiden maklumat korporat dan komunikasi SMRT, dalam satu kenyataan.

Dua pekerja itu, yang menyertai SMRT  Januari lalu,   sebahagian daripada satu pasukan teknikal yang turun ke landasan  untuk menyiasat bunyi penggera yang dilaporkan dari peranti pemantauan keadaan bagi  memberi isyarat peralatan.

“Kebenaran  mengakses landasan  telah diberi,”   tambah Encik Nathan.

“Penemuan awal menunjukkan  sebelum kemalangan itu berlaku, pasukan tersebut  bergerak dalam satu barisan  pada laluan di sebelah landasan,  dalam perjalanan ke lokasi peralatan isyarat.

“Kami menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mereka dan sedang berhubungan dengan mereka untuk memberi sokongan dan bantuan pada  masa  sangat sukar ini.

“Kami sedang bekerjasama dengan  polis untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kemalangan ini.

“SMRT sedang mengkaji semua prosedur keselamatan, khususnya yang melibatkan akses landasan.”
 

Kemalangan itu berlaku pada kira-kira 11.10 pagi. SMRT kali pertama mengirim tweet mengenai kejadian itu pada 11.20 pagi.

Ia berkata perkhidmatan dijangka pulih pada 12.15 tengah hari, tetapi kemudian menyemaknya semula kepada 12.30 tengah hari.

Seorang guru tuisyen, Cik Kay Tan, yang sedang melalui stesen Pasir Ris dalam perjalanan pulang, berkata beliau melihat hampir 20 pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan polis, serta kakitangan SMRT, berkumpul di atas landasan berhampiran sebuah kereta api yang berhenti di luar stesen.

Mereka kelihatan sedang cuba mengeluarkan sesuatu dari bawah gerabak kereta api, kata beliau, 25 tahun.

Dalam video yang disiarkan oleh pengguna Twitter, Jeremy Ho, pegawai SCDF dapat dilihat tiba di stesen Pasir Ris. Encik Ho berkata penumpang diminta meninggalkan stesen atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

SMRT berkata dalam satu tweet kemudian pada 11.30 pagi bahawa perkhidmatan bas biasa antara dua stesen itu disediakan secara percuma.

Perkhidmatan bas ulang-alik percuma juga disediakan bagi membawa penumpang terjejas.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 25
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.