Koroner: Kematian akibat minyak pati aromaterapi terbakar 'peristiwa malang tragik'

KORONER Negara Marvin Bay mendapati pada Isnin (18 Apr) bahawa kematian Allahyarham Rizalludin Hassan, yang melecur dijilat api semasa menyalakan dua peresap aromaterapi, sebagai satu "peristiwa malang tragil".

Kelecuran teruk yang beliau alami akibat "kebakaran kilat tidak disengajakan", kata Encik Bay.

"Bukti keadaan, forensik, kenyataan saksi dan tempat kejadian bukti menunjukkan kematian itu... berlaku akibat peristiwa tidak sengaja sepenuhnya."

Allahyarham, seorang jurutera teknologi maklumat berusia 34 tahun, sedang menyalakan dua peresap aromaterapi di dalam tandas bilik tidur utama pada 13 Oktober tahun lalu, apabila wap daripada minyak pati ternyala, menyebabkan kebakaran kilat.

Api menjilat tubuh bapa empat anak berumur satu hingga sembilan tahun itu, menyebabkan kelecuran ke atas lebih 80 peratus tubuhnya.

Dalam dapatannya, koroner memberi amaran kepada pengguna peresap aromaterapi supaya berhati-hati mengenai sifat tidak menentu minyak pati aromaterapi, dan mengambil langkah berjaga-jaga apabila mengendalikan cecair itu, terutamanya apabila mengisi semula peresap dari bekas berisi jumlah tinggi pati aromaterapi.

Memandangkan suhu paling rendah di mana wap bendalir akan menyala ialah 16 deg Celcius, bekas isian semula tidak boleh dibiarkan tidak tertutup terlalu lama, katanya.

Peresap juga tidak harus diisi semula "di dalam ruang tertutup atau tiada alihan udara, di mana wap mungkin terkumpul ke tahap yang boleh menjadi berbahaya apabila terdapat sembarang sumber pencucuhan".

Bekas untuk minyak pati isian semula juga harus disimpan jauh dari peresap yang sudah dinyalakan atau sembarang api terbuka, ujar Encik Bay.

Isteri Allahyarham, Cik Nurul Asyikin Norman, 34 tahun, ibunya dan ibu mentuanya menangis apabila koroner membacakan dapatan beliau.

Apabila ditanya akhbar The Straits Times di luar mahkamah bagaimana keluarganya menghadapi keadaan, Cik Nurul Asyikin, seorang guru sekolah, berkata: "Kami mendapat banyak sokongan daripada keluarga, terutama ibu bapa suami saya, rakan-rakan dan orang ramai. Kami akan cuba pulih."

Beliau berkata siasatan koroner itu mengembalikan "kenangan pedih".

Mengenai apakah keluarganya sedang menimbangkan tindakan sivil terhadap syarikat penjual peresap itu, beliau berkata mereka belum membuat keputusan, walaupun telah berunding dengan peguam.

Pengurus operasi Shiang's International, Encik Chok Wai Chen, memberi keterangan bahawa syarikat itu, pemilik jenama peresap Avita yang digunakan Allahyarham, mewajibkan pembeli menghadiri taklimat keselamatan. Tetapi Cik Nurul Asyikin memberitahunya beliau tidak pernah menghadiri sembarang taklimat.

Encik Chok berkata minyak pati isian semula itu dikehendaki diimport sebagai "barang berbahaya" dan "cecair mudah terbakar", tetapi beliau tidak sedar bahawa wap cecair itu juga mudah terbakar.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 52
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.