Kos jagaan kesihatan warga tua naik 10 kali ganda jelang 2030: Laporan

KOS penjagaan kesihatan warga tua di Singapura dijangka meningkat sepuluh kali ganda dalam tempoh 15 tahun akan datang kepada lebih AS$49 bilion ($66 bilion) setiap tahun, menurut satu laporan.

Ini bermakna purata AS$37,427 akan dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan bagi setiap orang tua pada 2030. Ia yang tertinggi di rantau Asia Pasifik.

Laporan itu, yang dikeluarkan pada Rabu (24 Ogos) pada majlis pelancaran Pusat Risiko Asia Pasifik baru Marsh & McLennan Companies, yang disokong oleh Lembaga Pembangunan Ekonomi. Syarikat itu menyediakan perkhidmatan profesional seperti pengurusan risiko.

Jumlah AS$49 bilion itu diperoleh dengan mengambil kira perubahan demografi, kos penjagaan jangka panjang dan inflasi kos perubatan. Ia termasuk perbelanjaan awam, insurans swasta dan perbelanjaan daripada duit sendiri.

Laporan itu menganggarkan AS$5 bilion dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan bagi warga tua tahun lalu kerana perbelanjaan penjagaan kesihatan seorang warga emas dianggarkan empat kali ganda daripada orang biasa.

Pada 2030, perbelanjaan penjagaan kesihatan bagi setiap warga tua dianggarkan meningkat daripada AS$8,196 pada 2015 kepada AS$37,427.

"Ia satu anggaran konservatif memandangkan angka itu tidak mengambil kira kos tidak langsung, seperti pengangkutan, dan kos melepas daripada masa penjaga," kata Dr Jeremy Lim, rakan kongsi khidmat kesihatan global Oliver Wyman.

"Ia juga mengandaikan kita mempunyai akses kepada buruh asing murah sedia ada, yang mungkin tidak berlaku pada masa depan."

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Tharman Shanmugaratnam berkata tahun lepas perbelanjaan penjagaan kesihatan di Singapura dijangka meningkat darpada lebih $9 bilion tahun lalu kepada lebih $13 bilion pada 2020.

Itu hanya angka perbelanjaan awam, ujar Kementerian Kewangan pada Rabu.

Implikasi daripada angka-angka baru itu luas, ujar Encik Wolfram Hedrich, pengarah eksekutif Pusat Risiko Asia Pasifik.

"Dapatan kami akan mempengaruhi dasar dan keputusan pemerintah berhubung perbelanjaan infrastruktur penjagaan kesihatan. Individu perlu berhati-hati menimbangkan apakah mereka cukup bersedia untuk membiayai keperluan persaraan penjagaan kesihatan mereka, terutamanya rangkaian produk insurans yang dimampui terhad," kata beliau.

Kementerian Kesihatan berkata ia sedang mengkaji laporan itu dan akan memberi responsnya kelak.

Marsh & McLennan Companies mempunyai empat syarikat operasi - broker insurans dan firma pengurusan risiko Marsh dan Guy Carpenter serta firma perunding Mercer dan Oliver Wyman.

Waktu Solat

Subuh
5:38
Syuruk
6:54
Zuhur
12:59
Asar
4:00
Maghrib
7:01
Isyak
8:10
3 HR PSI: 47
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.